KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) di minta supaya lebih sensitif serta tidak sambil lewa dengan isu jerebu yang semakin tidak terkawal sehingga mengundang keadaan tidak selesa ketika ini.

Dalam manifesto PH sebelum menang Pilihan Raya Umum lepas sudah dinyatakan secara terang bahawa antara janji mereka adalah memberikan keadaan persekitaran lebih baik serta tidak tercemar.

Bagaimanapun baru-baru ini,  sama seperti janji lain dalam manifesto, isu berkaitan dengan syarikat nadir bumi Lynas Sdn Bhd (Lynas) yang dahulunya dianggap sebagai bahaya kepada pencemaran dan akan ditutup operasinya akhirnya diberikan pembaharuan lesen.

Ini sebenarnya cukup membimbangkan Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja kerana beliau juga bimbang dengan komitmen yang bakal di tonjolkan oleh kerajaan PH yang dahulunya cukup vokal tentang pencemaran serta persekitaran.

“Ok, kita tidak mahu main politik di sini. Saya tahu anda selalu buat pusingan ‘U’ dalam janji-janji manifesto dengan pelbagai alasan termasuk tidak menyangka kemenangan sebesar ini.

“Tetapi kita letak semua itu di tepi. Isu jerebu ini, tolonglah jangan buat seperti Lynas atau janji-janji lain walau apapun alasan kamu. Tolong buat sesuatu yang serius.

“Seandainya ‘diplomasi’ oleh Malaysia selama ini termasuk ketika kerajaan terdahulu tidak berjaya dalam isu jerebu merentasi sempadan daripada Indonesia, mungkinkah tiba masanya untuk kita bertindak jauh lebih tegas, selain daripada hanya menulis surat.

“Kita telah berharap dengan Indonesia untuk bertindak dalam perkara ini, jika ini tidak berlaku mengapa kita tidak failkan kes ke atas negara itu di mahkamah antarabangsa? Bawa mereka ke muka pengadilan supaya rakyat kita juga dapat keadilan?

“Jika Indonesia tidak mahu mengambil tindakan undang-undang lebih tegas terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab dengan pembakaran hutan ini, kita perlu berbuat sesuatu daripada berpeluk tubuh sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

RT Raja yang juga merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang MIC berkata, kerajaan perlu juga memikirkan cara lain dalam menangani jerebu seandainya tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak lain seperti dalam kes ini adalah negara Indonesia sendiri.

“Jika syarikat-syarikat dari negara kita juga terlibat, kita perlu ambil tindakan jauh lebih tegas. Pinda undang-undang yang sedia ada ketika ini supaya ianya tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

“Anda kini kerajaan, daripada tuding jari seperti keselaluan apa kata anda buat sesuatu yang jauh lebih tegas? Pinda undang-undang yang lebih tegas dan memberikan impak besar kepada kumpulan yang berteruskan melakukan pencemaran seperti ini.

“Embargo, jangan perbarui lesen atau boikot dan macam-macam lagi. Buatlahlah sesuatu yang menyakitkan mereka, tunjuk kita juga amat serius dalam isu ini, bukan sahaja kepada Indonesia tapi dengan rakyat kita sendiri.

“Membayar denda minimum dan kemudian terus melakukan lagi buat satu jalan, jika ini berlaku pada kerajaan terdahulu, anda kini punyai semua kuasa untuk pinda atau ubah ianya. Jangan hanya sekadar slogan sahaja.

“Ketika PRU dahulu, anda kata kamu berbeza berbanding dengan kerajaan terdahulu? Jangan mengapa ianya di takuk lama? Ubahlah.

“Dulu ketika zaman BN, kita sememangnya sudah ada isu ini dan sememangnya sukar untuk ditangani. Tetapi ini berbeza dengan anda, perjuangan anda antaranya dalam memperbetulkan perkara-perkara seperti ini jika ada kuasa mutlak di tangan. Jadi apa jadi?

“Apa jadi dengan janji manifesto itu? Apa jadi dengan Lynas? Apa jadi dengan isu pencemaran di Pasir Gudang yang seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian? Masih lagi mahu tuding jari atau buat sesuatu? Letak jawatan dan bagi mereka yang lebih layak untuk terajui kementerian.

“Sudah ada desas desus tidak sedap di dengar termasuk hubungan menteri dengan syarikat di kaitkan dengan Pasir Gudang itu, kita tidak tuduh sebaliknya kita minta sesuatu untuk di lakukan, jangan asyik denda beberapa ribu sebaliknya berpuluh-puluh juta.

“Jangan lupa, rakyat sedang sengsara dengan pelbagai penyakit kerana isu-isu pencemaran ini terutamanya kanak-kanak dan orang tua. Cukup berpolitik retorik,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast