Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad diminta menunjukkan kematangan apabila berbicara.

Ini kerana, setiap kenyataan yang keluar daripada mulutnya, cukup menggambarkan kecelaruan dalam dirinya, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau mengulas sindiran Khalid yang mendakwa Pas sudah mendapat sijil nikah s dengan penyatuan rasmi bersama UMNO hari ini selepas lama “menjalinkan hubungan sulit.”

Khalid yang juga bekas pemimpin Pas berkata, pendirian parti itu tidak sama dengan kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor dan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat.

“Hubungan sulit yang disorok sebelum ini kini diisytihar secara terbuka. (Dulu) Pas bersekedudukan dengan parti perkauman Melayu,” kata Khalid dalam satu majlis.

Menurut Shamsul, tingkah laku Khalid itu sangat malang bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai seorang menteri yang tahap pemikiran dan sikap serendah ini.

Secara sinikal, Shamsul berkata, UMNO sangat memahami keadaan Khalid yang sangat bimbang Muafakat Nasional UMNO dan Pas kerana bakal menghilangkan kuasa Kerajaan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette