Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Himpunan Penyatuan Ummah antara Pas dan UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin berjaya menyatupadukan blok pembangkang pada hari ini.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, tidak ada siapa yang menyangka persengketaan selama enam dekad antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu berjaya ditamatkan menerusi pemeteraian Piagam Muafakat Nasional.

Katanya, perpaduan antara blok pembangkang ini sebenarnya merisaukan Pakatan Harapan.

“Tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang turun beramai-ramai ke PWTC untuk menyaksikan peristiwa bersejarah episod politik negara pada hari ini.

“Rakyat kini mempunyai pilihan yang lebih baik, untuk memilih gabungan pembangkang melalui Muafakat Nasional yang menjiwai denyut nadi orang Melayu, Cina, India dan seluruh kaum di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Shahir berkata, Muafakat Nasional adalah terjemahan kepada perpaduan antara kaum yang menjadi teras kepada visi dan misi Ikatan itu sendiri.

Ujarnya, visi dan misi Ikatan adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang dilihat semakin dicabar oleh segelintir rakyat Malaysia yang mahu merobek perpaduan antara kaum.

Tambah beliau, isu-isu perkauman seperti pembelajaran jawi, kesenian khat dan promosi barangan buatan orang Islam dijadikan modal politik untuk memberikan persepsi negatif kepada Penyatuan Ummah.

Sabtu lalu, ribuan penyokong UMNO dan Pas memenuhi setiap sudit ruang di PWTC kerana mahu menyaksikan detik bersejarah menandatangani piagam kerjasama politik kedua-dua parti itu.

Kerjasama Pas-UMNO bertujuan memperkukuhkan kedududukan orang Melayu dan Islam di samping mengambil kira Malaysia sebagai negara majmuk dan berbilang agama, bangsa dan budaya. – MalaysiaGazette