PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak gusar akan ‘perkahwinan’ antara Pas dan UMNO kerana berpendapat kerjasama itu hanya bertujuan politik semata-mata.
“Itu satu dinamika dalam politik. PH tidak perlu gusar kerana parti politik pembangkang perlu ambil langkah untuk terus hidup. Mereka tidak ada apa yang nak ditawarkan cuma konsep penyatuan ummah sahaja.
“PH berdiri atas kekuatan utama dalam uruskan perbezaan. Lebih penting daripada hanya bersatu dalam kesamaan. Kekuatan PH adalah dengan menguruskan perbezaan yang ada dalam gabungan samada kaum, agama dan budaya dan rakyat akan terus menilai,” katanya mengulas mengenai kerjasama politik antara Pas-UMNO, minggu lalu.
Jelas Dr Dzulkefly lagi, ta’awun antara Pas dan UMNO akan menghadapi masalah sukar diterima oleh masyarakat sekiranya bersandarkan kepada satu kaum dan satu agama.
Menurut beliau, kaum lain terutamanya Cina dan India akan terus menolak kerjasama itu kerana hanya mementingkan satu kaum sahaja.
“Hak untuk mana-mana parti bergabung dan melakukan apa jua tindakan dan inisiatif politik mereka. Itu adalah dalam ruang lingkup mana-mana parti yang telah kalah untuk survival parti.
“Rakyat akan menilai semua itu dan mewujudkan satu kerjasama politik mengenai kaum dan agama, itu adalah akan hadapi masalah untuk diterima dan kalau mereka membawa agenda kaum itu ia akan bertambah sukar untuk Malaysia menerima pendekatan itu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama di Hotel Everly, hari ini.
Pas-UMNO pada Sabtu lalu memeterai perjanjian kerjasama politik dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional, sempena Himpunan Penyatuan Ummah.
Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti. -MalaysiaGazette