Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas memberi jaminan perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk tetap menjadi keutamaan parti itu seperti yang termaktub dengan jelas dalam Piagam Muafakat Nasional (PMN).

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, walau apapun reaksi diterima selepas menandatangani PMN, mereka tetap menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

Katanya, pelbagai reaksi diterima oleh rakyat Malaysia amnya dan ramai yang terharu sehingga mengalirkan air mata kegembiraan, malah ada segelintir memberikan komen sebaliknya.

Begitu juga antara petikan ucaptama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan, Islam bermula dengan membina integriti individu, keluarga, bangsa dan negara bermasyarakat majmuk.

“Bermula dengan mengajak bangsa masing-masing bersama Islam tanpa paksaan, seterusnya menyatukan bangsa itu dan menghidupkan konsep masyarakat madani dengan menegakkan negara berbilang kaum dan agama.

“Acuan inilah yang dinyatakan oleh Presiden Pas dapat menyatukan dan melembutkan hati masyarakat Arab yang paling degil dan suka bertelagah sesama sendiri pada zaman jahiliah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, di Malaysia, Pas telah membuktikan komitmen perpaduan nasional apabila mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan menekankan keadilan sosial dan hak kepada semua kaum.

Jelas beliau lagi, penganut agama dan kaum lain bebas mengamalkan amalan agama mereka selagi tidak melanggari undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Di peringkat Pas sendiri, masyarakat bukan Islam diberi peluang melalui Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) dan melantik mereka di posisi dalam kerajaan dan masyarakat seperti diamalkan di Kelantan dan Terengganu.

“Contohnya, Pegawai Khas Menteri Besar mewakili bukan Islam dan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Dengan ini ditegaskan, Pas tidak akan sekali-kali berkompromi dan menghalang sebarang usaha pihak tidak bertanggungjawab sama ada organisasi atau individu yang ingin merosakkan keharmonian yang sedia terjalin,” katanya.

Kata Kamaruzaman, atas semangat cintakan negara, Pas mengalukan pelbagai pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan dan mana-mana organisasi untuk berdialog bagi memastikan PMN sentiasa berada di landasan yang tepat untuk Malaysia lebih sejahtera. – MalaysiaGazette