Mark Esper. Foto Agensi

WASHINGTON – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper mendedahkan pihaknya telah bersetuju untuk menghantar bantuan ke wilayah Teluk selepas diminta oleh Arab dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ini susulan serangan ke atas loji minyak didakwa telah dilakukan oleh Iran minggu lepas.

Agensi melaporkan, Esper berkata, serangan Iran terhadap dron AS pada Jun selepas Tehran merampas sebuah kapal tangki minyak Britain serta serangan terhadap dua loji minyak Arab Saudi merupakan tindakan dramatik pencerobohan Iran.

“Untuk menghalang tindakan selanjutnya, Arab Saudi meminta sokongan antarabangsa untuk membantu melindungi infrastruktur penting kerajaan. UAE juga telah meminta bantuan kepada kita.

“Presiden setelah mendengar permintaan pihak-pihak ini, beliau telah meluluskan penempatan pasukan AS, yang akan bersifat defensif, dan memberi fokus kepada pertahanan udara dan peluru berpandu,” kata Esper kepada pemberita.

Menurut Ketua Turus Bersama Joe Dunford, arahan kerahan pasukan tentera itu hanya bersifat ‘sederhana’ dengan melibatkan kurang daripada jumlah mencecah ribuan tetapi tidak di perincikan jenis peralatan atau jumlah bantuan akan diberikan.

Presiden AS, Donald Trump beberapa hari lepas berkata, pihaknya sudah bersedia bertindak balas ke atas serangan di infrastruktur minyak di Arab Saudi yang dipersalahkan ke atas Iran.

Sementara itu, Arab Saudi bergelut memulakan operasi semula di loji yang diserang dron pemberontak Huthi.

Ini adalah kali pertama beliau menunjukkan petanda mengenai tindak balas ketenteraan AS ke atas serangan.

Susulan serangan itu, pengeluaran minyak Arab Saudi dikurang sehingga separuh dan membawa kepada kedua-dua negara mengumumkan kemungkinan mengeluarkan simpanan strategik masing-masing. – MalaysiaGazette