KUALA LUMPUR – Harimau Selatan atau Johor Darul Ta’zim akan bertemu Terengganu FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 malam ini.

Walaupun atas kertas JDT dilihat mempunyai sedikit kelebihan mampu mencipta kejutan berdasarkan rekod lampau ke atas lawan, Skuad Penyu juga tidak boleh dipandang remah.

Terengganu FC memiliki senjata mereka sendiri untuk membinasakan kubu pertahanan the Southern Tigers malam ini.

Siapa lagi kalau bukan Tchetche Kipre.

Penyerang import Ivory Coast itu kini berada dalam prestasi terbaik dan sudah memberi amaran awal terhadap JDT menjelang aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Kipre kini mengungguli edisi Piala Malaysia kali ini sebagai penjaring terbanyak setakat ini.

Pemain berusia 31 tahun itu berjaya meledakkan enam gol dalam tiga perlawanan kempen Piala Malaysia musim ini dalam kumpulan A menentang Kedah, Negeri Sembilan dan PKNS FC.

Perlawanan malam ini serta aksi timbal balik dijangka lebih sengit antara kedua dua pasukan tersebut.

Pemain import JDT yang dijangka memberi masalah kepada bek pertahanan Terengganu malam ini

Kelebihan skuad pantai timur beraksi di gelanggang sendiri dijangka akan dimanfaatkan Terengganu yang menerima kunjungan JDT.

Pasukan yang dibarisi pemain seperti Shamim yahya, Kamal Azizi Zabri di bek pertahanan dijangka akan memberi masalah kepada skuad pelawat.

Manakala Diogo Luis Santo yang merupakan penyerang import terkenal JDT juga memiliki kelebihan di bahagian serangan lawan.

Diogo kelahiran Brazil mempunyai 5 gol dalam kempen Piala Malaysia setakat ini dan hanya dipisahkan satu gol dengan Kipre.

Justeru seorang lagi pemain tengah yang akan menjadi ancaman untuk Terengganu adalah Gonzalo Cabrera antara penjaring utama berbisa yang dimiliki JDT.

Maka bek pertahanan Terengganu juga mempunyai tugas berat untuk dilaksanakan malam ini.

Pasukan JDT yang dibarisi beberapa pemain Harimau Malaya iaitu Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad dan Syamer Kutty Abba sudah tentu bersedia mengancam pasukan lawan dan mampu mencatat kemenangan penting di tempat lawan.

JDT telah bertemu pasukan Terengganu FC sebanyak 10 kali dalam pertandingan Liga Super sejak 2013.

Gonzalo Carbrera dijangka melakukan kejutan di gawang Terengganu malam ini.

Mengikut rekod, dari 10 pertemuan, JDT mencatat 9 kali kemenangan dan hanya 1 kekalahan dengan JDT menjaringkan 19 gol. Gawang JDT juga tidak pernah dibolosi pasukan Terengganu FC sejak tahun 2015.

Dalam rekod Piala Malaysia, kedua dua pasukan pernah bersemuka sejak tahun 2014 lagi.

Dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia 2014, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan manakala dalam aksi suku akhir kedua musim sama, JDT jinakkan Terengganu 3-1.

Kedua-dua pasukan bertemu kembali dalam aksi pertama Kumpulan D pada tahun 2017 tetapi keputusan terikat seri tanpa jaringan.

Manakala pada aksi kedua kumpulan D musim sama, JDT membelasah skuad Penyu 5-0.

Apakah JDT akan mengekalkan rekod kecemerlangan ke atas Terengganu ataupun skuad penyu akan menamatkan badi kemenangan ke atas Harimau Selatan, kita menantikan malam ini.-MalaysiaGazette