KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan proses evakuasi pelajar Malaysia di daerah Riau dan Jamibi, Indonesia yang terjejas teruk daripada bencana jerebu selama lapan hari, bermula hari ini hingga 30 September.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, proses evakuasi itu akan dilaksanakan secara bersama antara kementerian itu dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi lain yang berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pada masa ini terdapat kira-kira 300 orang pelajar Malaysia di Provinsi Riau dan Jambi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, keadaan jerebu di negara tersebut berada pada tahap yang sangat membimbangkan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 550 hingga 700 iaitu dalam kategori berbahaya.

Sementara itu, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengaktifkan bilik operasi bagi memastikan kelancaran proses evakuasi itu.

Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai proses evakuasi orang ramai boleh menghubungi bilik operasi di Putrajaya di talian 03-88874570 atau 03-88874770 dan bilik operasi di Jakarta di talian +6221-5224947 atau +62813-80813036 (whatsapp). – MalaysiaGazette

Jerebu: Misi bawa pulang pelajar Malaysia di Pekanbaru