Ahli Parlimen Kubang Kerian mewakili parti PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan Di Malaysia 'Takrifan dan Pelaksanaan' di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu hanya pandai mentakrifkan Kelantan, Sabah dan Sarawak sebagai negeri miskin sedangkan peruntukan tidak disalurkan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai  pentadbir Putrajaya perlu lebih berani untuk berdepan dengan status negeri miskin biarpun ada beberapa negeri tidak ditadbir oleh PH.

“Tidak guna Sabah, Sarawak, Kelantan miskin tapi peruntukan tidak disalurkan.

“Royalti petroleum sampai sekarang pun tidak diberi. (Negeri) Kedah tak mengapa sebab ada minyak gamat,” sindirnya ketika berucap di Seminar Ekonomi Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian di hadapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa ahli parlimen Dewan Rakyat.

Tuan Ibrahim berkata, PH perlu keluar daripada kerangka lama yang menyekat peruntukan kepada negeri-negeri pembangkang dek kerana berbeza ideologi politik.

“Keseimbangan pembangunan wilayah, kerajaan kena akui bahawa kita perlu keluar daripada kerangka lama. Tidak guna kita sebut negeri itu negeri ini miskin, tapi peruntukan kepada pembangunan tidak ada.

“Peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang pun cuma bagi RM100 ribu sahaja.

“Kerajaan kena berani, ini bukan untuk Ahli Parlimen tapi untuk rakyat. Tapi kalau masih dalam kepompong lama tidak guna kita bincang,” katanya lagi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata Kedah, Kelantan dan Perlis merupakan negeri miskin yang perlu diberikan tumpuan yang lebih.

Mahathir berkata kerajaan  menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 akan berusaha untuk meningkatkan negeri-negeri yang dikategorikan miskin.

Beliau juga berkata, secara umumnya Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa terdapat jurang antara negeri-negeri. -MalaysiaGazette