Dr. Mahathir Mohamad

NEW YORK – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Saya berjanji akan meletakkan jawatan sebelum pilihan raya akan datang untuk memberi laluan kepada calon lain.

“Jadi, saya mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun lagi,” katanya dalam satu dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di sini.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut bakal menggantikan Dr Mahathir berkata, beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sekitar Mei 2020.

Dalam satu temubual bersama Bloomberg, Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, beliau tidak akan terlalu cerewet mengenai tempoh tepat pengambilalihan tersebut.

Anwar menambah, kesefahaman yang telah dipersetujui secara konsensus adalah Tun Dr Mahathir Mohamad akan meletakkan jawatan dan beliau akan mengambil alih selaku Perdana Menteri ke-8.

Sebelum ini, sebagai sebahagian persetujuan sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 pada Mei 2018, Dr Mahathir memberikan komitmen bahawa beliau akan memegang jawatan nombor satu negara itu hanya sekitar dua tahun.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pasti sama ada penggantinya akan mentadbir negara dengan baik, ketika meluahkan kekecewaannya dengan penggantinya ketika melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003.

“Saya tidak dapat menjamin sama ada pengganti saya boleh melakukannya dengan baik, atau mungkin tidak terlalu baik.

“Saya tidak boleh beri jaminan. Tetapi kita boleh meletakkan jentera yang betul. Jika anda bekerja dalam sistem, saya fikir kita boleh mencapai matlamat status maju menjelang 2030, “katanya.

Dalam wawancara itu, Dr Mahathir berkata, meskipun sudah berusia 94 tahun tetapi beliau berkerja selama 18 jam sehari, sambil menyifatkan tugasnya cukup mencabar. – MalaysiaGazette