SHAH ALAM – Terdapat dua kaedah lagi untuk rakyat mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kaedah itu ialah merujuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau kaedah sekarang iaitu melalui kenyataan media dan himpunan kecil-kecilan mendesak Tommy meletakkan jawatan tidak berkesan, kita ada dua lagi kaedah.
“Mungkin kita kena rujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dan mungkin juga rujuk pada Perdana Menteri bahawa Peguam Negara sekarang berburuk sangka atau mempunyai agenda.
“Kalau perkara ini (buruk sangka dan beragenda) betul, kedua-dua pihak berkenaan kena ambil tindakanlah terhadap Peguam Negara,” katanya kepada Malaysia Gazette selepas melancarkan Oasis Halal Mart di pekarangan Wisma Mais di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam semalam yang memutuskan terdapat unsur jenayah atas kematian seorang anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Menurut Nadzim, dengan desak yang bertalu-talu dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk NGO itu, Tommy sepatutnya perlu akur dan meletakkan jawatan.
Beliau turut memberi contoh, jika rakyat bersatu dan dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 10 juta sokongan, Peguam Negara mesti kena turun dan melepaskan jawatan berkenaan.
“Kita nakkan kekuatan. Kita mesti kena bina kekuatan ini supaya anak cucu kita di masa depan ada tempat hendak bersandar,” katanya berkias. – MalaysiaGazette
















