KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas membaham Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam aksi suku akhir kedua di Johor Bahru, malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan JDT muncul pasukan pertama layak separuh akhir bagi merebut piala berprestij bola sepak negara ini.

Gandingan Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera menjadi wira apabila masing-masing meledak dua gol pada babak pertama bagi membantu pasukan tuan rumah menempah tiket ke peringkat empat terbaik menerusi agregat 5-1.

Dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, JDT membuka tirai jaringan JDT pada minit ke-16 dengan menyempurnakan sepakan penalti setelah pemain pertahanan mereka, La Vere Corbin Ong dikasari oleh Sanjar Shaakhmedov.

Safawi terus menceriakan penyokong Harimau Selatan dengan membuat jaringan menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gawang, Muhamad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-22.

Safawi menambah derita kelab lamanya apabila menjaringkan gol kedua peribadi selepas umpanan cantik dari Diogo Luis Santo dengan melakukan sepakan gunting pada minit ke-36.

Pengendali Terengganu, Mohd. Nafuzi Mahammad Zain semakin kelu apabila benteng pertahanan skuad Penyu sekali lagi dibolosi menerusi jaringan Cabrera yang mudah menolak masuk hantaran Corbin Ong pada minit ke-39.

Terengganu akhirnya memperoleh gol pembukaan pada penghujung babak pertama menerusi jaringan kapten pasukan, Andrew Lee Tuck hasil rembatan dari luar kotak penalti.

Skuad Penyu cuba bangkit pada babak kedua perlawanan dengan mempertingkatkan rentak permainan namun gagal menambah jaringan hingga tamat perlawanan.- MalaysiaGazette