KUALA LUMPUR – Juara Liga Super selama enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menarik perhatian badan pemerhati bola sepak dunia apabila menerima kunjungan delegasi Double Pass semalam.

Firma terkemuka yang berpengkalan dari Belgium itu adalah sebuah badan bebas untuk mengukur keupayaan sesebuah kelab bola sepak untuk dijadikan penanda aras sebagai perbandingan dengan kelab-kelab elit dari serata benua.

Double Pass sebelum ini telah bekerjasama dengan hampir 700 kelab profesional dari Premier League, J.League, U.S. Soccer, Bundesliga serta banyak lagi.

Menurut Facebook Johor Southern Tigers, kehadiran Double Pass adalah untuk memastikan Harimau Selatan memenuhi piawaian antarabangsa, sejajar dengan impian pemilik JDT, Pemangku Raja, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dua wakil dari firma tersebut yang hadir semalam adalah Ketua Produk dan Pengasas, Prof. Dr. Jo van Hoecke dan Perunding Kanan Bola Sepak, Ariel Jacobs.

“Antara yang ditinjau dalam lawatan kedua-dua mereka semalam adalah kemudahan fasiliti yang terdapat di JDT dan kajian akan terarah kepada semua aspek merangkumi akademi bola sepak, pasukan senior dan pengurusan kelab.

“Kedua-dua wakil dari Double Pass juga merupakan individu yang amat berpengalaman di dalam bola sepak.

“Van Hoecke misalnya merupakan Profesor Pengurusan Sukan di University of Brussels,” kata kenyataan JDT di laman sosial itu.

Sementara itu, Jacobs pula pernah bergelar Pengarah Akademi Belia Belgium FA, Jurulatih Belia Belgium (kategori Bawah-14 hingga Bawah-23), dan Penolong Jurulatih Pasukan Kebangsaan Belgium.

Dia juga menjadi sebagai Ketua Jurulatih beberapa kelab di Belgium dan Pengarah Teknikal KRC Genk. – MalaysiaGazette