Sebahagian peserta Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 06 OKTOBER 2019

PETALING JAYA – Tiga kolumnis Sinchew Daily menyuarakan rasa kecewa terhadap Kongres Maruah Melayu yang dijalankan pada Ahad lalu.

Timbalan ketua pengarang eksekutif akhbar itu, Tay Tian Yan berkata, hujahan dalam kongres telah “menyakitkan hati.”

“Sebelum ini memang ada pelbagai kenyataan ekstrem, tetapi kebanyakan daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali atau pertubuhan bukan kerajaan seperti Isma. Kenyataan mereka ekstrem, tetapi masih ada batasannya.

“Kali ini, Kongres Maruah Melayu telah dijalankan empat buah universiti awam. Profesor dan Naib Canselor yang bukan calang-calang orangnya tetapi elit atasan yang berkuasa dan berpengaruh telah naik ke pentas dan mengeluarkan hujahan (ekstrem),” katanya.

Seorang lagi kolumnis Sinchew Daily, Profesor Tajuddin Rasdi pula berkata, pelajar dan profesor Malayu telah menggunakan syak wasangka tidak berasas untuk menuding jari kepada orang bukan Melayu.

Beliau juga mempertikaikan tahap maruah sarjana-sarjana dengan fahaman ekstrem yang mengeluarkan hujahan tidak berpatutan dalam persidangan pada Ahad lalu.

Katanya, martabat dunia akademik telah digadaikan dalam kongres tersebut.

Tajuddin bagaimanapun memuji Perdana Menteri yang tidak mengikut rentak pembahas dalam kongres, walaupun beliau tidak bersetuju dengan terma “orang asing” yang digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya terkejut dan kagum dengan Dr. Mahathir yang mengutarakan apa yang benar dan bukannya mengambil kesempatan untuk mendapat sokongan semua parti dan NGO Melayu,” katanya merujuk teguran, nasihat dan cadangan Perdana Menteri kepada orang Melayu.

Wartawan eksekutif Sinchew Daily, Zhuang Min pula berasa putus harapan, malahan ketakutan dengan usul-usul dalam Kongres Maruah Melayu dan reaksi peserta persidangan terhadap resolusi tersebut.

Penulis itu yang membuat liputan di Kongres Maruah Melayu berkata, kenyataan dalam majlis tersebut telah melukakan hati kaum bukan Melayu dan merosakkan keharmonian negara.

Wartawan itu juga mengungkit tujuh resolusi kongres yang diserahkan kepada Perdana Menteri.

*Memastikan hanya wujud sekolah aliran Melayu dalam tempoh enam tahun, yakni penghapusan sekolah rendah Cina dan Tamil.

*Mengizinkan pelajar bumiputera yang mendapat C dan D untuk mendapat biasiswa dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam dikhususkan kepada pelajar bumiputera sahaja. Tawaran pengecualian bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan cemerlang kelas pertama dikhususkan untuk pelajar bumiputera.

*Memastikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan menengah selain menjadi bahasa utama di universiti.

*Penggunaan bahasa Melayu (tulisan Romawi dan Jawi) sahaja dalam urusan kerajaan.

*Pengajaran tulisan Jawi diwajibkan di sekolah rendah dan menengah.

*Jawatan penting kerajaan termasuk menteri penting dan pegawai kanan kerajaan mesti diisi oleh orang Islam Sunni.

*Pemansuhan terma Bahasa Malaysia tetapi mengembalikan penggunaan Bahasa Melayu. – MalaysiaGazette