Mazli Noor

KUALA LUMPUR – Isi kandungan pembentangan bajet kali ini berbentuk rutin, namun tiada inisiatif strategik baharu terutama untuk tujuan memaju dan mentransformasi model ekonomi Malaysia.

Ini bermakna struktur ekonomi Malaysia akan kekal terperangkap dalam kerangka lama yang mana struktur asasnya bergantung kepada input modal.

Justeru, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas PUsat (LEHPU) tidak nampak bagaimana bajet itu mampu menyelesaikan masalah utama yang masih membelenggu rakyat dan negara sekarang, iaitu kos sara hidup semakin meningkat dan pertumbuhan ekonomi semakin perlahan.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Mazli Zakuwan Mohd Noor, walaupun umum tahu kemerosotan pendapatan kerajaan dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun bajet kali ini tidak mencadangkan struktur cukai baharu yang lebih komprehensif dan adil bagi meningkatkan pendapatan kerajaan.

Ini secara langsung berlawanan dengan ramalan awal oleh para penganalisis dan firma penarafan bahawa Malaysia perlu menilai semula struktur cukai negara bagi menyelesaikan masalah jurang fiskal yang dihadapi sekarang.

Namun, persoalannya bagaimana kerajaan akan memperolehi pendapatan tambahan sebanyak RM20 billion lagi tidak dijawab dalam pembentangan bajet ini.

“Oleh itu kami menjangkakan kerajaan akan tidak mampu untuk memenuhi sasaran defisit fiskal sebanyak 3.2 peratus untuk tahun 2020 dan perlu diingat sasaran itu lebih tinggi daripada sasaran awal kerajaan sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2019 iaitu 3 peratus.

“Pandangan kami ini disokong dengan cadangan, sebagaimana yang dibentangkan, yang mana komitmen kerajaan dijangka semakin meningkat dengan pengumuman beberapa lagi kenaikan dan imbuhan baharu serta upah kepada kakitangan awam dan rakyat, termasuk kenaikan gaji minimum kepada pekerja di wilayah bandar utama,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun dicadangkan kenaikan gaji minimum RM1,200 kepada pekerja di wilayah bandar utama, namun dalam masa sama bajet tidak menyatakan apa-apa inisiatif strategik bagi meningkatkan produktiviti rakyat.

Ini kata beliau, bakal memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia kerana tekanan inflasi akan meningkat apabila kenaikan kadar upah tidak diikuti dengan produktiviti.

Perlu diingat, kadar pertumbuhan produktiviti Malaysia menyusut dengan ketara kepada 2.2 peratus dalam tahun 2018 berbanding 3.7 peratus dalam tahun 2017, sebagaimana Laporan Produktiviti Malaysia 2018/2019.

Tiada inisiatif untuk meningkatkan keyakinan pelabur kepada pasaran Malaysia. Pengaliran keluar modal asing daripada pasaran ekuiti dan modal Malaysia masih berlaku secara berterusan.

“Setakat tempoh sehingga akhir September 2019, telah berlaku jualan bersih modal oleh pelabur di pasaran Bursa Malaysia selama 26 minggu secara berterusan, sebagaimana dilaporkan oleh MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research.

“Ini amat kritikal kerana pelaburan luar membentuk 30 peratus daripada jumlah modal yang didagangkan di Bursa Malaysia,” katanya.

Inisiatif untuk meyakinkan pelabur kepada pasaran Malaysia memerlukan pendekatan komprehensif, di samping tiada petunjuk jelas terhadap apakah strategi kerajaan bagi memaju ekonomi Malaysia bergerak kehadapan.

Katanya, keyakinan pasaran juga bergantung kepada kesungguhan dalam memerangi rasuah, yang masih merupakan masalah utama Malaysia, manakala inisiatif baharu dan strategik dalam memerangi rasuah juga tidak disentuh dalam Bajet 2020.

Ini secara langsung akan mempengaruhi tanggapan penganalisis kepada pasaran dan akhirnya akan menjejaskan penarafan Malaysia.

Berdasarkan garis panduan Bank Dunia, kebocoran melalui rasuah dan penyelewengan akan memberi kesan sehingga 30 peratus daripada KDNK sesebuah negara. Justeru, inisiatif memerangi rasuah perlu berterusan ditingkatkan.

Berdasarkan asas bajet itu dan situasi semasa ekonomi Malaysia dan global, LEHPU menjangkakan ekonomi Malaysia akan tumbuh pada kadar amat sederhana bagi setahun penuh 2019, iaitu pada kadar antara 4 peratus hingga 4.5 peratus.

Jangkaan ini masih kekal disumbang dan disokong oleh dua faktor tradisi utama iaitu penggunaan domestik dan pembinaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast