Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR- Para penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak mendapat subsidi minyak boleh mula menyemak status masing-masing secara atas talian menerusi laman web rasmi psp.kpdnhep.gov.my hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, data penerima subsidi minyak tersebut adalah berdasarkan maklumat yang diberikan semasa memohon bantuan BSH.

Katanya, kementerian turut melakukan semakan silang terhadap maklumat pemilik kenderaan menggunakan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dengan itu, kementerian katanya telah mengenalpasti 2.9 juta individu daripada golongan B40 layak menerima subsidi petrol berkenaan.

“Penerima BSH yang baharu sahaja membeli kenderaan jenis yang dibenarkan untuk menerima subsidi tersebut juga harus mendaftar dengan JPJ dan menghantar permohonan mereka bagi melayakkan mendapatkan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi kementerian menerusi hotline 1800-886-800, emel kepada [email protected] atau WhatsApp ke nombor 019-2786356.

Di bawah Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar terdapat dua kategori individu yang layak untuk menerima subsidi berkenaan.

Kategori pertama ialah penerima BSH (B40) yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang diberikan dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Kategori kedua pula ialah bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH yang mana mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.

Kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.- MalaysiaGazette