Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pelaburan ESG BIMB Investment 2019 di Ritz Carlton, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof enggan melayan status Facebook milik Datuk Seri Najib Razak mengenai prestasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melihat tidak ada keperluan untuk menjawab komen daripada media sosial oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Saya tidak ulas status FB Datuk Seri Najib,” katanya ringkas.

Beliau ditemui pihak media selepas merasmikan Seminar Pelaburan ESG BIMB Investment 2019 di sini hari ini.

Semalam, Najib dalam Facebook miliknya mempersoalkan adakah hibah TH tahun 2019 akan lebih rendah berbanding kadar 1.25 peratus tahun lalu.

Soal Najib lagi, jika hibah tahun 2019 tetap rendah, adakah kerajaan Pakatan Harapan akan cuba menyalahkan Barisan Nasional sekali lagi.

Ini kerana jika dibandingkan prestasi enam bulan pertama tahun 2019 berbanding prestasi tahun 2018, TH mengalami kejatuhan dari segi pendapatan, keuntungan dan jumlah nilai aset.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, TH telah menjual saham dan harta berjumlah RM1.2 bilion sehingga 30 Jun 2019.

Beliau berkata, penjualan saham, instrumen kewangan dan hartanah itu telah menghasilkan keuntungan RM61 juta kepada TH.

Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2019, TH telah berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 bilion.

“Pendapatan yang diperolehi dari RM1.32 bilion ini telah pun dilabur semula di dalam pelbagai instrumen Kewangan yang menjana pendapatan yang lebih teguh dan stabil, terutamanya di dalam saham-saham yang berpotensi di Bursa Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette