Dong Zong

KAJANG – Perjuangan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf adalah untuk membolehkan pelajar sekolah menengah persendirian Cina tidak perlu mengambil terlalu banyak subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi boleh memilih mata pelajaran secara tunggal.

Timbalan Pengerusi Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing berkata, pertubuhannya berharap selepas UEC diiktiraf, pelajar sekolah Cina berkenaan tidak lagi perlu mengambil semua mata pelajaran SPM, tetapi hanya mengambil subjek tertentu.

Beliau berkata, keadaan itu dilihat wajar kerana masa pelajaran sekolah persendirian Cina kini lebih panjang berbanding negara dan wilayah lain seperti China, Hong Kong dan Taiwan.

“Disebabkan perlu mengikuti pelajaran untuk subjek-subjek SPM (selain UEC), jadi pelajar memang terbeban.

“Sesetengah pelajar melihat pengalaman mereka di sekolah persendirian Cina hanyalah belajar dan menduduki peperiksaan, keadaan ini sebenarnya amat menyedihkan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Yew Sing berkata, dengan mengurangkan pengambilan mata pelajaran SPM, pelajar mempunyai lebih banyak masa terluang untuk aktiviti kokurikulum.

“Yang penting adalah  pelajar dididik menjadi manusia yang berguna dan lebih baik, selain membolehkan mereka membesar dengan gembira.

“Reformasi yang digerakkan Dong Zong untuk sekolah persendirian Cina antaranya adalah menambahkan lebih banyak aktiviti kokurikulum,” katanya.

Dalam pada itu, Yew Sing berkata, prestasi Bahasa Melayu dalam kalangan sekolah persendirian Cina sebenarnya agak baik, tetapi beliau juga mengakui kekurangan suasana untuk pelajar menggunakan bahasa kebangsaan.

“Oleh itu, kami perlu sedikit masa untuk mewujudkan peluang dan suasana berbahasa Melayu untuk pelajar,” katanya.

Menurutnya lagi, pendekatan sekolah persendirian Cina adalah mendidik pelajar mengiktiraf budaya Cina, tetapi pada masa yang sama memandang kedudukan mereka dalam sebuah negara yang majmuk. – MalaysiaGazette