Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media selepas hadir pada Konvensyen UMNO Negeri Selangor 2019 di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 19 OKTOBER 2019.

SHAH ALAM – UMNO boleh memaafkan perbuatan seorang graduan Universiti Malaya (UM) yang melakukan provokasi semasa konvokesyen baru-baru ini jika individu itu meminta maaf.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan ia hanya boleh dilakukan sekiranya Wong Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam UM itu menyesali perbuatannya.

“Dia melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan, boleh jadi kita boleh panggil dia dan dia perlu menyesal dengan perbuatan itu kerana dilakukan di tempat yang kurang sesuai.

“Semua orang buat silap dan kesilapan tersebut kita perlu lihat dari segi beberapa sudut.

“Kita boleh memaafkan jika beliau meminta maaf kepada Tuanku Canselor dan pihak UM,” katanya ketika pemberita selepas Konvensyen UMNO Selangor hari ini.

Selasa lalu, pentadbiran mengecam keras tindakan seorang graduan yang mengeluar dan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas majlis istiadat konvokesyen UM.

Wong Yan Ke  menjerit ‘ini tanah Malaysia’ selepas menerima ijazahnya di atas pentas, Isnin lalu.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau menegaskan cadangan untuk membatalkan ijazah Yan Ke tidak wajar dan satu tindakan yang keterlaluan.

“Tapi jika penangguhan kepada penganugerahan tersebut dibuat saya rasa itu sesuatu yang boleh dilakukan.

“Untuk membatalkannya itu saya kurang pasti kerana AUKU (Akta Universiti dan Kolej) dan Perlembagaan UM itu perlu dilihat lebih teliti lagi.

“(Ini kerana) Pihak senat UM lebih arif tentang berkenaan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette