Rina Mohd Harun

PUTRAJAYA – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan empat nama untuk dipertimbang sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketuanya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kesemua nama yang diserahkan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin itu merupakan anak tempatan yang mempunyai latar belakang menarik dan berpotensi menjadi pilihan pengundi.

“Pasukan kita telah berkampung di sana sejak dua minggu lalu, antara lain bagi menilai situasi semasa sokongan termasuk potensi calon yang diinginkan pengundi bagi mempertahankan kerusi berkenaan,” katanya ketika ditemui media pada hari terakhir Karnival Usahawan Desa 2019 (KUD@KPLB) di sini hari ini.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Calon Pakatan Harapan (PH) yang bakal bertanding pada PRK itu dijangka diumum pada 30 Okt ini.

Dalam pada itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mengakui PRK itu akan berlangsung sengit dengan isu-isu terkini namun yakin Bersatu yang akan mewakili PH dapat mempertahankan kerusi tersebut.

Rina berkata jentera Srikandi bersama wanita PH lain telah mula bergerak dan berdasarkan culaan awal sikap pengundi wanita, kaum yang boleh mempengaruhi undian dalam sesebuah keluarga itu masih bersama PH.

“Fokus Srikandi sekarang ialah membantu calon yang dipilih kepimpinan PH untuk mengalahkan wakil pembangkang sama ada dari UMNO atau MCA,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast