Replika pembangunan semula Kampung Baru di Menara DBKL, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2109

KUALA LUMPUR- “Dahulu kami bersetuju kerana kerajaan cakap mahu bangunkan tempat ini tetapi sekarang mereka mahu beli pula,” kata Ahli Lembaga Jemaah Lembaga Pentadbir Tanah Kampung Baru Tanah Pertanian Melayu (MAS), Raden Salikun Mui.

Dengan itu, majoriti penduduk menurut beliau tidak bersetuju dengan tawaran terbaharu daripada kerajaan itu meskipun nilainya telah dinaikkan daripada RM850 setiap kaki persegi kepada RM1,000 setiap kaki persegi.

Katanya, tawaran tersebut tidak berpatutan dengan harga hartanah di sekeliling Kampung Baru yang jauh lebih tinggi.

Tambahan pula, peningkatan RM150 bagi setiap kaki persegi yang ditawarkan kerajaan itu hanya dibayar melalui pemilikan saham.

Jelasnya, para pemilik tanah di Kampung Baru tidak pernah menolak sebarang cadangan pembangunan yang dikemukakan kerajaan asalkan ia tidak melibatkan penjualan tanah milik mereka.

“Buatlah apa sahaja pembangunan menerusi apa sahaja cara sekali pun.

“Mahu guna sistem pajakan atau usahasama, terserahlah cuma kami minta jangan sentuh bab penjualan tanah.

“Kami tidak mahu kehilangan tanah kami,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambah Raden, kedudukan Kampung Baru sebuah kampung Melayu warisan yang terletak di tengah-tengah ibu kota perlu dipertahankan.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengumumkan tawaran terbaharu dan terakhir kepada penduduk Kampung Baru iaitu RM1,000 bagi setiap kaki persegi.

Pembayaran akan dibuat melalui empat pilihan iaitu tunai, hartanah, kombinasi aset dan tunai serta saham.

Pemilik tanah juga ditawarkan diskaun sebanyak 15 peratus bagi pembelian hartanah di Kampung Baru.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.