Datuk Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyasarkan sekurang-kurangnya 100 bahagian parti itu diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menjelang 31 Disember ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, setakat ini, RoS sudah meluluskan 98 bahagian parti itu di seluruh Malaysia manakala 42 lagi permohonan masih menunggu kelulusan agensi kerajaan itu.

“Dalam mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi PUTRA semalam, kita amat berharap dengan kerjasama RoS, sehingga hujung tahun ini, pada 31 Disember 2019, kita berharap paling tidak 100 bahagian menerima sijil, paling minimum.

“Tapi kita sasar 150, kalau ini (100) dapat kita sasar berjaya, memang luar biasa, kepimpinan sudah sedia, di peringkat akar umbi sudah sedia.

“Cuma nak tubuh itu (bahagian) ada peraturan, kita tertakluk kepada undang-undang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ibrahim berkata, mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Putra yang berlangsung semalam turut melantik enam kepimpinan penaja baharu parti itu termasuk seorang Bumiputera dari Sabah.

Antaranya Datuk Mohamad Umbaik Ismail, Timbalan Ketua Penyelaras Putra Kelantan (Bahagian Ketereh); Datuk Mustaffa Idrus sebagai Ketua Penyelaras Putra Kedah dan Prof Madya Datuk Panglima Dr. Kamarolzaman Mohd Jidi sebagai Timbalan Ketua Penyelaras Putra Johor

“Kita melantik seorang ADT baharu mewakili Sabah, iaitu Jefrusmaiming sebagai Ketua Penyelaras PUTRA Sabah dan Andonny Pilit@ Anthony Biri Mandiau sebagai timbalannya, beliau adalah seorang Bumiputera tidak beragama Islam, daripada etnik Mendiau.

“Eloklah kita bawa lain-lain etnik selain daripada orang Melayu berada dalam Putra dan ini adalah permulaan. Di Sabah 25 ketua penaja bahagian di mana 3-4 orang bukan Melayu tapi kaum Bumiputera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette