Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (tengah) beramah mesra bersama penerima watikah kerjasama pemaju swasta dan (KPKT) pada Majlis Pra Pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik (SWASTA) di The Everly, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Sebelas pemaju perumahan swasta dan sebuah anak syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor akan melancarkan 15 projek perumahan mampu milik melibatkan 46,873 unit rumah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan yang merancang untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun atau sehingga 2028.

Tambahnya, pemaju diingatkan supaya mematuhi spesifikasi yang telah digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara seperti keluasan minimum, penggunaan teknologi pembinaan terkini yang menjimatkan kos dan masa, menepati piawaian standard serta menyediakan kemudahan pembangunan ke arah pemberdayaan komuniti.

Selain itu, harganya juga berada di paras bawah RM300,000 dengan keluasan tidak kurang 950 kaki per segi.

Malah menurut Zuraida, terdapat pemaju yang bakal membangunkan rumah pada keluasan 1,200 kaki persegi.

“Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang bukan sahaja ingin memastikan kualiti perumahan yang dibina, malah ingin mewujudkan perumahan yang berdaya huni serta mempunyai komuniti yang harmoni,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis pra-pelancaran Projek Perumahan Mampu Milik Swasta di sini hari ini.

Menurut Zuraida, KPKT amat bertegas dalam soal pematuhan spesifikasi yang mana pegawai-pegawainya akan memastikan lokasi projek tersebut adalah bersesuaian iaitu tidak jauh dari bandar dan mempunyai kemudahan asas seperti sekolah serta komuniti yang baik.

Bagi kumpulan pertama ini, antara syarikat-syarikat yang terlibat adalah Pembinaan Kery Sdn. Bhd., Silver Breeze Sdn. Bhd., Melati Ehsan Sdn. Bhd., Astana Setia & Euro, Saga Sdn. Bhd., Besteel Engtech Sdn Bhd., Ekovest Bhd.

Katanya, sebahagian projek bakal memulakan pembinaan pada tahun hadapan.

Beliau merancang untuk mengumumkan kumpulan kedua pada Januari depan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.