KUALA LUMPUR- Pemegang saham utama Cycle & Carriage Bintang Bhd., Jardine Cycle & Carriage LTd. (Jardine CCL) mengusulkan kepada lembaga pengarah untuk melaksanakan pengurangan dan pembayaran semula modal terpilih (SCR) sebanyak RM2.20 sesaham.
Cadangan tersebut akan membuka jalan untuk menyah senarai syarikat automotif itu.
Harga saham syarikat tersebut telah menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga merekodkan paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia CCB berkata, SCR ditawarkan kepada semua pemegang sahamnya kecuali Jardine CCL.
“Selepas cadangan SCR selesai, Jardine CCL akan memilik 100 peratus kepentingan dalam CCB dan Jardine CCL tidak berhasrat untuk mengekalkan status syarikat senaraian awam di Papan Utama Bursa Malaysia,” katanya.
Saham didagangkan kali terakhir pada harga RM1.29.
Dagangan CCB digantung hari ini.-MalaysiaGazette















