KUALA LUMPUR – Perbicaraan ke-3 bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan bermula pada bila-bila masa sahaja di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Kes ini juga dihadapi bersama oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan bekas Perdana Menteri itu dalam membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Peguam mewakili Najib, Harvinderjit Singh berkata, jika perbicaraan bermula hari ini, mereka hanya mempunyai masa yang singkat untuk menyiapkan pembelaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.

Dalam kes SRC pula telah diputuskan untuk Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah RM42 juta pada 3 Disember ini.

Sebentar lagi umum akan mengetahui keputusan yang akan di putuskan oleh Mohamed Zaini berhubung permohonan Najib mahu menangguhkan perbicaraan sehingga 13 Januari depan.

Bagaimanapun Arul Kanda melalui peguamnya,  Datuk N Sivananthan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu perbicaraan diteruskan dan diberi peluang untuk menyangkal pertuduhan.

“Saya fikir adalah tidak adil bahawa semua orang bercakap tentang kepentingan semua orang dan dia hanya mengikut orang lain. Mahkamah harus melihat kepentingan semua tertuduh dan bukan hanya seorang tertuduh.

“Justeru, berdasarkan itu, saya membantah dan meminta mahkamah menolak permohonan ini dan perbicaraan bermula pada Isnin,” katanya.

Datuk N. Sivananthan

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang turut membantah permohonan itu berhujah, Mohamed Zaini sebelum ini memutuskan bahawa perbicaraan akan bermula Isnin ini seperti dijadualkan.

Mohamed Zaini kemudian berkata, perbicaraan akan bermula Isnin seperti dijadualkan sebelum beliau membuat keputusan muktamad berkaitan permohonan pada hari ini.

Hakim juga melahirkan rasa terkejut untuk seketika dengan permohonan Najib kerana peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini telah mengambil sikap berkecuali.

“Baiklah, saya akan sampaikan keputusan pada Isnin ini tetapi saya ingin ingatkan tolong bersiap sedia jika saya tolak permohonan ini,” katanya Jumaat lepas.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Ketika ini, semua pihak termasuk pasukan pendakwa raya dan bela sedang menanti Mohamed Zaini di dalam bilik perbicaraan, di jangka prosiding akan bermula selewat-lewatnya 9.30 pagi. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak perlulah nak tangguh lagi.
    Kalau boleh dipercepat & dipersingkatkan masanya.
    Kalau tak OKT ni bersama peguambela OKT ni mencari alasan utk melambat-lambatkan perbicaraan

    Pemimpin OKT ni dah naik tocang sangat.
    Bahkan rakyat beranggapan semua yg dituduh adalah fitnah semata-mata.

    Mohon lah pihak badan kehakiman bertindak lebih cepat.

    Agar Malaysia lebih bermaruah

Comments are closed.