Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat oleh pegawai Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berhubung penularan sepucuk surat yang didakwa dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Rembau itu adalah bagi menafikan tuduhan yang dilihat boleh mencemarkan imej Khairy dan juga institusi Dewan Rakyat.

Malah, perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku dan pihak yang berkenaan perlu mengambil perhatian serius.

“Mohon pihak polis melakukan siasatan terperinci bagi mencari dalang di sebalik penyamaran dan penyebaran gambar palsu tersebut bagi memelihara kemuliaan Dewan Rakyat dan imej ahli-ahli Parlimen supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi,” demikian menurut laporan polis itu.

Hari ini, tular satu tangkap layar menunjukkan surat yang tertera nama Khairy dihantar kepada Roosme.

Isi kandungan surat itu menyebut mengenai usul membahaskan peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surat tersebut turut menggunakan kepala surat bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Bagaimanapun, selang beberapa jam Khairy membuat penafian mengenai perkara berkenaan di Instagramnya.

Khairy yang kini berada di luar negara memaklumkan bahawa surat yang tular itu adalah palsu dan beliau hairan bagaimana ia boleh disah terima oleh pejabat di Parlimen tanpa mendapatkan pengesahannya terlebih dahulu. – MalaysiaGazette

KJ kemuka usul bahas tarikh peralihan kuasa perdana menteri?

Surat mohon kemuka usul bahas peralihan kuasa adalah palsu, kata KJ