Syed Zainal Albar

KUALA LUMPUR- Setakat Oktober lalu, sejumlah 10 sukuk Pelaburan Lestari dan Bertanggung jawab (SRI) bernilai kira-kira RM4.3 bilion telah diterbitkan di bawah Rangka Kerja SRI.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Syed Zainal Albar, kelestarian adalah satu agenda global yang sangat penting.

Ini kerana ia diperlukan untuk menangani isu-isu sebenar di peringkat akar umbi yang melibatkan masyarakat seperti pembasmian kemiskinan, menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta mengatasi perubahan iklim.

Dengan itu, SC katanya melancarkan Pelan Halatuju SRI bagi Pasaran Modal Malaysia (Pelan Halatuju SRI) yang bermatlamat untuk memudah cara ekosistem SRI serta mencipta laluan kepada pasaran modal tempatan supaya menjadi pemacu kepada pembangunan kelestarian Malaysia.

“Perubahan kepada lebih banyak amalan lestari dan jenama memerlukan pelaburan dalam teknologi baharu dan pembiayaan.

“Dari sudut perniagaan, langkah ini mempunyai risiko manakala hasilnya sukar untuk dijangka.

“Disebabkan itulah, pasaran modal berada dalam kedudukan unik bagi menguruskan tempoh peralihan kepada ekonomi lestari.

“Lagi pun, peranan pasaran adalah untuk membiaya serta mengurus risiko perniagaan dan pelaburan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Hala Tuju SRI di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Pelan hala tuju lima tahun itu telah mengenal pasti 20 rekomendasi strategik untuk memacu pembangunan ekosistem SRI dan meletakkan Malaysia sebagai pusat SRI di rantau ini.

Ini termasuk meluaskan instrumen SRI, meningkatkan pangkalan pelabur SRI, membangunkan pangkalan kukuh untuk penerbit SRI, memupuk budaya urus tadbir dalaman yang kuat serta mereka maklumat yang boleh membentuk ekosistem SRI. -MalaysiaGazette