Ketua Jurulatih Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee (tengah) semasa sesi latihan skuad Malaysia bawah 23 tahun bagi menghadapi perlawanan Sukan SEA 2019 di Wisma FAM, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2019

MANILA – Skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara akan mengambil pendekatan berbeza menentang Timor Leste esok selepas gagal memenangi dua perlawanan pertama dalam Sukan SEA ke-30 di sini.

Harimau Muda itu mesti menang besar ke atas pasukan kerdil, Timor Leste di Stadium Memorial Rizal pada 8 malam esok, serta menentang Kemboja pada Rabu untuk mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir.

Pengendali Skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee mendesak pemainnya untuk tidak membahayakan peluang itu dan memberi tumpuan penuh untuk muncul di tangga kedua Kumpulan A untuk melayakkan diri ke pusingan empat terakhir.

“Kami memerlukan jaringan, jadi pendekatannya mungkin berbeza, pada masa yang sama kami mesti seimbang dengan pertahanan jadi kami tidak terperangkap dalam serangan balas.

“Kami tidak boleh memandang rendah Timor Leste, bagi saya kita harus menghormati pasukan lawan tetapi pada masa sama, kita masih boleh mencapai hasil yang kita mahukan,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan hari ini.

Tiba di Manila dengan misi untuk menuntut kembali pingat emas, selepas muncul juara pada edisi 2011, Malaysia memulakan kempen dengan seri 1-1 menentang Myanmmar pada Isnin, sebelum tewas 0-1 kepada tuan rumah, Filipina pada Jumaat, manakala Timor Leste tewas 5-0 dengan Kemboja dan 3-1 oleh Myanmar.

Mengulas mengenai prestasi buruk pasukan negara, jurulatih berusia 49 tahun itu enggan menyalahkan persediaan masa yang singkat membentuk skuad itu, berbanding pasukan lain.

Mengenai kelebihan fizikal pemain Timor Leste, Kim Swee yakin sebahagian anak didiknya mampu mengatasi pemain berukuran besar dengan mempunyai kelebihan pada permainan pantas.

Sementara itu, Kim Swee berkata pasukan bimbingan masih memantau kecederaan buku lali Muhammad Akhyar Abdul Rashid, tetapi masih tidak pasti sama ada pemain penyerang itu boleh beraksi esok. – Bernama

1 Komen

  1. Penyerang tak ada aura dah dua game jgn mainkan adi fayad ganti terus dgn lukman hakim sbgi kesebelasan utama..kuty terlalu lambat bergerak..hairan..kenapa pemain terlalu malas…apabila mendapat bola tiada pemain lain dtg membantu.

Comments are closed.