Tineshnair Mogan menerima anugerah kecemerlangan Dr Tonse Ramdas Madhav Pai.

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

PUTRAJAYA- Seramai 326 graduan dari pelbagai disiplin pengajian termasuk kejuruteraan, bioteknologi, pengurusan dan perniagaan, perakaunan dan komunikasi massa menerima ijazah dan diploma masing-masing sempena majlis konvokesyen ketiga Manipal International University (MIU) semalam.

Mereka menerima ijazah tersebut yang disaksikan oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Abdul Razzak Mohd Said. Bagi ijazah dan diploma dalam bidang kejuruteraan, sains komputer dan bioteknologi disampaikan oleh Dekan Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Prof Dr Arokiaraj Pappusamy manakala ijazah dan diploma bidang pengurusan dan perniagaan disampaikan oleh Dekan Sekolah Pengurusan dan Perniagaan, ProfDr Seena Biju.

Berdasarkan jumlah graduan yang menerima ijazah masing-masing, 34 pelajar menerima ijazah kepujian kelas pertama. Empat graduan diisytiharkan menerima anugerah kecemerlangan akademik paling berprestij Dr Tonse Ramdas Madhav Pai, iaitu Chia Xin Yen, ijazah sarjana muda kejuruteraan kimia, Kreshna Sivapagasam, ijazah sarjana muda sains komputer, Ranjitha Kalaimaran, ijazah sarjana muda perakaunan dan Tineshair Mogan, iajzah sarjana muda komunikasi massa.

Masing-masing menerima sijil, wang tunai dan pingat kecemerlangan akademik. 12 pelajar pula diisytiharkan menerima anugerah kecemerlangan akademik di dalam bidang pengajian masing-masing.

Dr Abdul Razzak di dalam ucapannya menggesa siswazah MIU agar sentiasa menetapkan fokus untuk memandu kejayaan di dalam kehidupan yang serba mencabar dan menghadapi pelbagai bentuk gangguan.

“Sentiasalah memberikan fokus di dalam dunia yang serba ketidaktentuan dan gangguan ini,” katanya di hadapan graduan dan ibu bapa yang hadir di majlis konvokesyen di sebuah hotel terkemuka di sini.

Sementara itu, salah seorang penerima anugerah kecemerlangan berprestij Dr Tonse Ramdas Madhav Pai, Tineshnair Mogan gembira diumumkan sebagai penerima anugerah tersebut selepas melalui tempoh belajar yang panjang di MIU.

Tineshnair yang sebelum ini menamatkan pengajian Diploma Komunikasi Massa juga dari MIU, menyambung ke peringkat ijazah pertama sarjana muda komunikasi massa selama kira-kira dua tahun selepas mendapat pemindahan jam kredit di peringkat diploma.

“Saya bercadang untuk bekerja dahulu dan kemudian mula memikirkan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana,” katanya.

Sebahagian graduan Manipal International University selepas menerima skrol ijazah dan diploma masing-masing.

Beliau dikenali kerana ketekunan, disiplin dan penglibatan menyeluruh di bidang kokurikulum, termasuk kepimpinan dan sentiasa mengutamakan semangat kerja berpasukan.

Rakan beliau, Kaarthini Otamaputhiran yang juga memperolehi ijazah sarjana muda komunikasi kelas pertama diumumkan pemenang Anugerah Kecemerlangan Akademik berhasrat untuk menceburi kerjaya bersesuaian di bidang komunikasi dan periklanan.

“Saya juga mahu menyambung pengajian di peringkat pasca-siswazah selepas bekerja,” katanya. – MalaysiaGazette