Wajah-wajah ceria graduan Manipal International University (MIU),selepas menerima ijazah masing-masing.

DI SEBALIK meraikan kejayaan graduan menerima skrol ijazah dan diploma masing-masing dalam istiadat konvokesyen, terdapat kisah atau pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh pengajian mereka di sesebuah universiti.

Malah dalam era yang penuh persaingan, ketidaktentuan dan ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), nasib graduan selepas menamatkan pengajian juga semakin mencabar serta tidak menentu.

Bayangkan sahaja robot dan teknologi baharu sudah mengambil alih kerja-kerja yang biasanya suatu waktu dahulu dilakukan menggunakan kudrat tulang empat kerat.

Kepintaran akal, kelayakan akademik yang cemerlang atau paling tinggi sekali pun belum menjanjikan kejayaan mutlak seseorang yang bergelar siswazah.

Media baharu, media digital dan urusan perniagaan dalam talian sudah mengubah senario pasaran serta dunia pekerjaan hari ini, hatta untuk memesan sebungkus nasi lemak pun kini sudah dilakukan secara dalam talian (on-line).

Ekonomi yang menguncup, perang dagang Amerika Syarikat dan China serta politik domestik yang tidak menunjukkan senario menggalakkan memberi kesan terhadap sektor pekerjaan, khususnya di kalangan siswazah.

Bukan cerita luar biasa kini bila graduan yang memilik ijazah sarjana atau doktor falsafah terpaksa menganggur atau melakukan kerja-kerja yang bukan di dalam bidang kepakaran mereka.

Ada yang terpaksa menjadi pemandu grab, pembekal food panda atau mengambil pekerjaan yang bergaji tidak setimpal dengan kelayakan akademik mereka.

Keadaan kini semakin berubah lagi untuk tahun-tahun mendatang. Sudah tiada jaminan sebaik menamatkan pengajian siswazah bakal ditawarkan kerja atau berpeluang untuk mengisi kekosongan  di sektor awam mahu pun swasta.

Setiap tahun sahaja, ratusan ribu siswazah menerima ijazah masing-masing melalui acara konvokesyen yang meriah dan penuh warna-warni.

Kelmarin sahaja, seramai 326 siswazah menerima skrol ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen Manipal International University (MIU), kampus Nilai yang diadakan di Hotel Marriot Putrajaya.

Itu belum dihitung lagi majlis konvokesyen yang diadakan oleh universiti-universiti awam dan swasta, kolej-kolej swasta yang jumlahnya kini melebihi 450 buah.

Majlis konvokesyen MIU disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Abdul Razzak Mohd Said yang turut dihadiri ahli akademik, ibu bapa dan graduan yang menerima ijazah serta diploma masing-masing.

Justeru, Dr. Abdul Razzak sendiri dalam ucapannya menasihatkan graduan agar bijak membuat pilihan, sentiasa berani menyoal dan fokus di dalam mengharungi cabaran global yang tidak menentu dan penuh ketidakpastian.

Menurutnya, cabaran boleh sahaja datang dari dalam dan luaran, tetapi graduan yang sudah menamatkan pengajian haruslah sentiasa fokus dan mempunyai sikap yang betul.

Seorang graduan yang ditemui, Tineshnair Mogan, yang menerima ijazah sarjana muda komunikasi berharap dirinya dapat mengharungi cabaran dunia luar yang pasti berbeza dengan dunia akademik ketika di universiti.

Meskipun berjaya meraih ijazah kepujian kelas pertama dan dinobatkan sebagai salah seorang pemenang anugerah berprestij Dr. Tonse Ramdas Madhav Pai, Tineshnair tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan terus menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana, tetapi mahu mencari pekerjaan yang sesuai terlebih dahulu.

Dia mengakui payah dan sulitnya sektor pekerjaaan masakini. Namun, dia yakin peluang masih tetap ada dan mahu mencuba menerokai bidang berdasarkan kelayakan akademiknya.

Seorang lagi graduan komunikasi, Tengku Zahirah Zawani Tengku Omar Hussein berasal dari Seremban juga mahu mencari pekerjaan selepas menempuh pengajian di peringkat diploma dan komunikasi.

Dia yang menjalani latihan industri selama tiga bulan di salah sebuah hotel berhasrat mahu menceburi bidang penyiaran, perhubungan awam atau bidang yang sesuai dengan kelayakan akademiknya.

Bagi Muhammad Zakwan Ahmad Halim yang meraih ijazah sarjana muda kejuruteraan kimia berazam untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di luar negara, khususnya di United Kingdom.

Menurut Muhammad Zakwan, dia mahu meluaskan pengalaman, kemahiran dan menambah pengetahuan di bidang kejuruteraan kimia dengan menyambung pengajian ke seberang laut sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang rencam, getir dan mencabar.

Berbeza dengan Khairul Ikhwan Sharul Nizam, yang mendapat ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik dan elektronik terus sahaja berkhidmat dengan syarikat dimiliki ayahnya berfokus kepada bidang yang sama.

Ayahnya, Sharul Nizam Md. Radzi berkata, kelayakan akademik anaknya itu membolehkan beliau mewariskan syarikat perniagaan miliknya kepada Khairul Ikhwan.

“Jika dia tidak mahu menyambung kerja-kerja di syarikat yang saya asaskan, saya terpaksa menjual kepentingan kepada pihak lain,” katanya.

Begitulah gambaran cita-cita graduan sebaik menerima ijazah masing-masing. Dunia sebenar tidak menentu meski pun masing-masing graduan mempunyai semangat, cita-cita dan idealisme yang tinggi.

MIU yang ditubuhkan di Malaysia sejak 2010 menawarkan kursus diploma dan ijazah pertama yang bukan sahaja mengutamakan nilai-nilai akademik, tetapi juga menyediakan nilai tambah seperti kemahiran, kepimpinan, kemahiran komunikasi dan pendedahan latihan industri.

Kursus ditawarkan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, kecuali yang mensyaratkan bahasa Melayu dengan harapan pelajar dapat bersaing bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga pasaran global yang lebih terbuka.

“Tugas universiti membekalkan ilmu dan kemampuan berfikir yang betul,” demikian kata seorang profesor dalam jurusan pengurusan dan perniagaan.

Justeru, selepas menamatkan pengajian, ilmu dan kemahiran yang dipelajari di universiti menyediakan asas dan landasan kepada graduan menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar. – MalaysiaGazette

(Mohd. Shah Abdullah, Ketua Jabatan Komunikasi & Bahasa serta Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Manipal International University, Nilai).