Ahli Parlimen Barang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri kesal permohonannya supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta maaf kepada rakyat Sarawak ditolak oleh Dewan Rakyat.

Beliau yang mewakili Parti Pesaka Bumiputra Sarawak (PPBS) ketika membahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 14 Oktober lalu berkata, Guan Eng perlu meminta maaf kerana didakwa menghina rakyat Sarawak sebagai pengemis yang tamak.

Bagaimanapun Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat sehari selepas itu menafikan telah mengeluarkan kata-kata tersebut.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming ketika itu telah meminta Nancy menghantar surat kepadanya sebagai penjelasan berserta bukti atau dokumen yang menyokong kenyataannya itu.

BACA: Nancy bidas Guan Eng gelar rakyat Sarawak pengemis

Hari ini Kor Ming berkata, beliau telah meneliti dokumen-dokumen tersebut dan mendapati dakwaaan Nancy itu merupakan satu anggapan yang disifatkan sebagai sangkaan jahat.

“Oleh itu terjatuh di bawah peratursn mesyuarat 36(6), saya juga mendapati penyataan yang kononnya dibuat oleh Bagan tidak dilaporkan di mana mana surat khabar di Sarawak dan bukti ianya dilaporkan juga tidak diberikan oleh Batang sadong.

“Oleh yang demikian Batang Sadong (Nancy) diminta menarik balik tuduhan terhadap Bagan,” katanya.

Nancy yang tidak berpuas hati bangun dan berkata, perkara itu adalah urusan beliau dan Guan Eng, bagaimanapun disangkal oleh Kor Ming yang menegaskan perkara itu adalah di bawah urusan Dewan Rakyat.

BACA: Orang Sarawak pengemis tamak: Guan Eng desak Nancy tarik balik kenyataan

“Saya hanya akan tarik balik dan minta maaf sekiranya Bagan (Guan Eng) minta maaf kepada rakyat Sarawak,” katanya.Bagaimanapun, Kor Ming memaklumkan ia tidak memenuhi peraturan Dewan dan keputusan Speaker adalah muktamad sambil menyatakan Nancy gagal mengemukakan bukti Guan Eng berkata demikian serta mengarahkan Nancy sekali lagi menarik balik kenyataannya.

“Saya rasa tarik balik paling adil untuk dilakukan YB (Nancy). Jangan salah tafsir dan jangan kaitkan rakyat Sarawak dengan tingkah laku peribadi YB, rakyat Sarawak tak beri mandat kepada YB buat fitnah.

“Takkan hitam boleh jadi putih, putih boleh jadi hitam. Itu sahaja dan sila tarik balik kenyataan, harap jangan keras kepala, hanya diminta tarik balik kenyataan,” Kata Kor Ming.

Nancy bangun dan berkata: “Kalau itu memuaskan hati Speaker saya tarik balik dengan syarat kalau saya tak tarik balik saya akan dirujuk dengan jawatankuasa hak dan kebebasan.

“Baiklah, saya akur terpaksa tarik balik,” katanya dengan nada kesal. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.