Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan mensasarkan untuk menurunkan nisbah hutang dan liabiliti kepada 65% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2025 berbanding 77.1% pada akhir Jun 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hutang dan liabiliti tersebut terdiri daripada hutang langsung, jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibiayai oleh kerajaan, hutang 1MDB serta pelbagai liabiliti lain, iaitu obligasi usaha sama awam swasta (PPP), Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Menurut beliau, seperti yang terkandung dalam laporan Tinjauan Fiskal Dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, nisbah hutang dan liabiliti kerajaan telah menurun daripada 79.3% pada akhir-2017 kepada 77.1% pada akhir Jun lalu.

Kementerian Kewangan juga mengambil kesempatan ini untuk memperbetulkan salah faham mengenai hutang luar negeri yang timbul di kalangan orang awam.

Hutang luar negeri adalah berbeza daripada hutang langsung kerajaan kerana hutang itu terdiri daripada pinjaman luar pesisir, deposit bukan pemastautin serta hutang individu, syarikat dan kerajaan yang dipegang oleh orang bukan pemastautin.

Manakala hutang langsung kerajaan pula adalah hutang yang diterbitkan oleh kerajaan secara
langsung.

“Seperti yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia, jumlah hutang luar negeri Malaysia adalah sebanyak RM931.1 bilion pada akhir-Jun 2019. Daripada nilai tersebut, hanya RM190.0 bilion merupakan hutang langsung kerajaan.

“Tambahan lagi sehingga akhir Jun 2019, hutang langsung telah meningkat sebanyak RM94.1 bilion sejak Pakatan Harapan menerima mandat untuk menjadi kerajaan

“Jumlah RM94.1 bilion tersebut telah membiayai perbelanjaan pembangunan, defisit fiskal serta pembayaran balik hutang (termasuk hutang 1MDB),” jelas Guan Eng.

Katanya, jumlah RM94.1 bilion ini jauh berbeza berbanding dakwaan yang dibuat dan diulang-ulang oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa hutang langsung telah meningkat sebanyak RM245 bilion.

Beliau turut memberitahu, hutang 1MDB termasuk faedah adalah sebanyak RM50.5 bilion dan ia hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

Katanya, sebanyak RM13.9 bilion akan terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan
SRC International Sdn Bhd (SRC) dari tahun 2017 sehingga 2020.

“Jumlah pembayaran RM13.9 bilion untuk 1MDB dan SRC yang dibuat oleh kerajaan merupakan kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia yang sepatutnya dibelanjakan demi kebajikan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette