Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sambil diiringi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahudin Ayub (lima kiri) bersama Ahli Majlis Tertinggi Amanah bergambar sambil mengangkat tangan turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari (empat kanan) dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga kanan) pada majlis perasmian sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2019

SHAH ALAM – Pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyaksikan hampir keseluruhan penyandang ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional sedia ada berjaya mengekalkan kedudukan dalam parti itu.

Proses pemilihan Amanah yang ditutup tepat jam 10.30 malam tadi menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mendahului senarai 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang terpilih malam ini dengan meraih 786 undi.

Keputusan itu juga menyaksikan jumlah undi yang diperolehi Khalid telah mengatasi jumlah undi yang diraih Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dengan 681 undi di tangga ketujuh.

Menerusi keputusan itu juga, hampir semua menteri dan timbalan menteri berjaya memenangi jawatankuasa pusat itu kecuali Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir yang tewas melalui pencalonan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berada dalam senarai kedua tertinggi dengan mendapat 780 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berada di tangga ketiga, dengan 765 undi.

Pemilihan kali pertama sejak Amanah dilancarkan pada 16 September 2015 menyaksikan beberapa muka baharu berjaya memenangi jawatan tertinggi parti itu termasuk Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Faiz Fadzil.

Antara pemimpin yang tewas pada pemilihan ini ialah Naib Presiden yang juga Ahli Parlimen Tampin, Hasan Bahrom.

Seorang lagi Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa tewas selepas tidak tersenarai dalam calon yang bertanding.

Salam pemilihan Jawatankuasa Pimoina Nasional kali ini menyaksikan seramai 87 calon pencabar daripada 27 kerusi yang dipertandingkan dan seramai 822 perwakilan yang mengundi.

Sementara dua lagi kekosongan jawatan bagi jawatan naib presiden akan dipilih Presiden. – MalaysiaGazette

Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) Sesi 2019-2022:

Speaker : Yuhaizad Abdullah

Timbalan Speaker : Adnan Saad

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional

1. Khalid Abd Samad (786)
2. Mahfuz Omar (780)
3. Salahuddin Ayub (765)
4. Mujahid Yusof Rawa (755)
5. Mohd Hatta Md Ramli (725)
6. Dzulkefly Ahmad (687)
7. Mohamad Sabu (681)
8. Adly Zahari (655)
9. Siti Mariah Mahmud (612)
10. Raja Bahrin Raja Kamarulzaman (584)
11. Faiz Fadzil (582)
12. Mohammad Nizar Jamaluddin (553)
13. Mazlan Aliman (544)
14. Nik Omar Nik Abdul Aziz (543)
15. Hasanuddin Mohd Yunus (460)
16. Suhaizan Kaiat (445)
17. Zolkharnain Abidin (445)
18. Ridzwan Abu Bakar (435)
19. Asmuni Awi (428)
20. Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (368)
21. Mohamed Hanipa Maidin (360)
22. Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (359)
23. Phahrolrazi Mohd Zawawi (339)
24. Mohd Sany Hamzan (338)
25. Mariam Abdul Rashid (317)
26. Ahmad Termizi Ramli (302)
27. Muhaimin Sulam (299)