Ronnie Liu

KUALA LUMPUR – Polis masih lagi menjalankan sssssiasatan dan beberapa tindakan telah diambil termasuk mendapatkan keterangan pakar sejarah berhubung kes abu mayat Chin Peng yang didakwa telah dibawa balik ke Perak.

Malah, laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Pendaftar Pertubuhan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan diambil bagi membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, setakat ini seramai 10 orang saksi telah diambil keterangan termasuk pihak pengadu, Editor Malaysiakini, wartawan, pembawa abu mayat dan juga individu yang terlibat dalam upacara yang dijalankan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5-4 dan 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta SKMM 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara berserta cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai baru-baru ini, Huzir berkata, siasatan yang dijalankan mendapati gambar-gambar yang tular berlaku di Hotel Lee Garden Hatyai, Thailand dan di Auditorium New Era College, Kajang, Selangor.

Katanya, sebanyak sembilan persatuan telah dikenal pasti terlibat dalam penganjuran majlis tersebut dan empat individu dikenal pasti memberi ucapan dalam majlis berkenaan.

Antaranya, ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu, Editor Persatuan Persahabatan Abad ke-21 wakil Parti Komunis Malaya dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.

Setakat ini seramai enam saksi telah diambil keterangan dan saki-saksi lain akan diambil keterangan berdasarkan temu janji yang ditetapkan.

Sehingga kini polis menerima 72 laporan berkaitan isu sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta SKMM 1998. – MalaysiaGazette