Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham (kanan) bergambar bersama Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac.

KUALA LUMPUR – Permohonan Ahmad Idham Ahmad Nazri untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas tidak ada kaitan dengan spekulasi kononnya beliau ada masalah dengan Datuk Hans Isaac.

Ahmad Idham sepatutnya tampil memberi penjelasan sebenar berhubung keputusannya bagi mengelakkan salah faham orang ramai terhadap Hans dan Finas.

Sumber dalaman Finas berkata, sebelum Lembaga Pengarah Finas menerima surat permohonan Ahmad Idham itu, memang tidak ada apa-apa yang berlaku di dalam Finas.

“Tidak ada ‘pokok bergoyang’ tiba-tiba lembaga pengarah menerima surat peletakan daripada Ahmad Idham. Beliau (Ahmad Idham) juga tidak pernah menemui lembaga pengarah untuk menyatakan permasalahan atau sebagainya.

“Bagi lembaga pengarah, kami menghormati permohonan Ahmad Idham dan menerimanya sedang hati terbuka sebab itu adalah pilihan beliau.

“Namun tidak sangka pula permintaan Ahmad Idham itu menimbulkan cerita-cerita tidak baik kepada Hans,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Artikel berkaitan:Hans nafi wujud konflik dengan Ahmad Idham

Ahmad Idham mohon pendek perkhidmatan CEO Finas

Pecat Hans Isaac, Gobind tak layak pegang portfolio KKMM

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai permohonan Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi.

Mengulas lanjut mengenai desakan pihak-pihak tertentu yang meminta Hans mengundurkan diri daripada Finas, sumber itu meminta mereka yang berkenaan berhenti ‘bermain drama’.

Tambah beliau, sepatutnya semua golongan karyawan berdiri teguh di belakang individu yang mahu membawa transformasi lebih baik kepada Finas dan industri, bukannya mengadu-domba perkara-perkara yang tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak pun.

Katanya, Ahli Lembaga Pengarah Finas sedar ada usaha-usaha yang dilakukan oleh Hans tidak diterima baik oleh karyawan meskipun perkara yang dilakukannya baik demi kelangsungan anak-anak seni negara.

Ini termasuk isu caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso yang diusahakan oleh Hans.

Biarpun usaha itu sememangnya baik tetapi ramai yang tidak menyokong.

“Ini antara perkara kecil yang tidak disukai oleh karyawan, banyak lagi sebenarnya. Benda-benda ini menyebabkan Hans tidak disukai.

“Tetapi adakah mereka lihat dan menghargai usaha-usaha Hans yang membawa masuk pelaburan luar ke dalam industri filem negara?

“Oleh sebab itu, dalam isu Ahmad Idham ini, adalah lebih baik tuan punya diri menjawab persoalan tersebut.

“Dengan cara ini Ahmad Idham dapat menangkis spekulasi yang berlegar-legar. Lagipun berterus-terang itu lebih baik bukan sahaja dari aspek profesionalisme tetapi juga menangkis fitnah terhadap pihak yang tidak sepatutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette