Cheng Guan.

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah hampir 19 bulan memegang tampuk kuasa, namun DAP yang merupakan komponen kedua terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) masih lagi gagal menyumbang ‘apa-apa’ yang signifikan sehingga kini.

Masyrakat Cina yang sebelum ini memberikan sokongan padu kepada DAP dilihat semakin menjauhkan diri kerana kecewa dengan parti itu.

Malah aktivis lantang juga boleh dikatakan penyokong parti itu, Francis Paul Siah dari Movement for Change Sarawak (MoCS) turut mengkritik DAP dengan begitu teruk sekali hari ini.

Kata Francis, DAP yang satu ketika dulu agresif dan menggerunkan seperti harimau kini sudah bertukar menjadi anjing serta kucing jinak yang taat kepada tuannya sahaja.

Manakala bekas Pesuruhjaya Tinggi ke Kanada, Dennis Ignatius melalui kolum pendapatnya pula merasakan adalah lebih baik seandainya DAP keluar sahaja daripada PH sebelum kegemilangan itu malap kelak.

Terbaru, Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan memberitahu MalaysiaGazette, hakikatnya DAP sememangnya sudah memberikan kekecewaan tidak terhingga kepada para penyokongnya terutama dalam kalangan Cina.

Malah kata beliau, sudah terang lagi bersuluh dalam isu melibatkan pembatalan perhimpunan  Dong Jiao Zong atau Dong Zhong bagi membantah pengenalan tulisan khat pada Sabtu lepas.

“Hari ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng luah rasa sedih, kecewa mengapa perhimpunan itu dibatalkan oleh polis melalui arahan mahkamah. Hello Guan Eng, nasi sudah jadi bubur. Sebelum-sebelum ini kamu diam, sekarang bising buat apa?

“Sekarang bersuara, berbunyi kononnya lantang buat apa? Ingat rakyat butakah?

“Apakah kamu langsung tidak berdaya? Dulu kamu beritahu pengundi kamu tidak ada kuasa, sekarang kerajaan negeri kamu ada, kerajaan pusat kamu ada. Kamu juga Menteri Kabinet. Apa lagi DAP mahu? Saya tidak tahu, masyarakat Cina yang bertanya.

“Dulu DAP selalu gelar dan kritik MCA dan Gerakan khasnya, konon mereka itu ‘lap dogs’ atau boneka UMNO dan BN kerana banyak perkara tidak mampu diselesaikan. Ingat lagikah kamu? Sekarang apa sudah jadi?

“Sekarang DAP ada puluhan wakil rakyat dalam kalangan parti tetapi tidak ada seorang pun sanggup mencabar Tun Mahathir yang satu ketika dulu kamu kutuk perangi habis-habisan. Isu tiga muka surat tulisan khat itupun kamu tidak boleh buat apa-apa,” katanya sebentar tadi.

Cheng Guan mengulas kenyataan Guan Eng juga Menteri Kewangan yang melahirkan rasa sedih dengan pihak polis bertindak menghalang perhimpunan anjuran Dong Zong bagi membantah pelajaran tulisan khat.

Perhimpunan tersebut sepatutnya diadakan di Kajang, Sabtu lalu terpaksa dibatalkan selepas pihak mahkamah pada Jumaat memutuskan acara tersebut boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Sekiranya Malaysia Baharu percaya kepada kebebasan bersuara, tiada sebab mengapa perhimpunan ini dihalang.

“Kongres Maruah Melayu dibenarkan, sepatutnya perhimpunan ini jua dibenarkan,” luah Guan Eng.

Jelas Cheng Guan, DAP tidak boleh berterusan bertindak seperti pembangkang dan berterusan menuding jari kepada kerajaan terdahulu mahupun kerajaan PH kini sebaliknya perlu memikul mandat diberikan oleh pengundi yang percaya kepada parti itu.

“Janganlah asyik-asyik tuding jari pada BN, UMNO. Sedangkan suara kamu sendiri langsung tidak di dengari dalam kabinet sendiri. Nasib kamu sendiri tidak dapat di pastikan lagi.

“Mengapa selalu bagi kenyataan demi kenyataan seperti masih dalam pembangkang lagi? Kini kamu adalah kerajaan, Menteri, Ketua Menteri, Ahli Parlimen wakil rakyat dan banyak lagi. Apakah semua ini tidak cukup?

“Mengapa duduk dan keluarkan kenyataan demi kenyataan? Ingat, rakyat bukan bodoh tetapi sudah celik dan bijak. Lagi kamu main politik kotor seperti ini, lagi mereka akan jadi marah,” tegasnya.

Sebelum ini Francis dalam kolum pendapat berkata adalah lebih baik untuk meletakan DAP ‘kembali’ sebagai pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak kerana kepimpinan parti itu jauh lebih menonjol ketika tiada kuasa.

“Pemimpin DAP mungkin boleh berkata adalah tidak salah seandainya menuding jari kepada mereka dalam isu Dong Zhong sambil menyatakan ada perkara yang tidak mampu dikawal oleh mereka.

“Biarlah saya sendiri jawab persoalan ini, DAP boleh dakwa dalam perlembagaannya mereka adalah parti berbilang kaum namun mengapakah sehingga kini ianya dikenali sebagai parti Cina? Jika tidak betul, mengapa bertanding kerusi majoriti Cina?

“Bukankah majoriti ahlinya juga dalam kalangan Cina? Bukankah DAP juga sentiasa berada di barisan hadapan dalam perjuangan membabitkan pendidikan Cina? Jadi jika bukan DAP yang menjadi pejuang utama, siapakah yang kita boleh harapkan?

“Adakah PKR? Mahupun Amanah? BERSATU adalah masalah dalam isu ini itu sudah pasti. Jadi siapa jika bukan DAP yang berjuang.

“Apa gunanya melihat ada pemimpin DAP yang menuding jari kepada polis atau kumpulan lain dalam hal ini yang mana penganjuran kongres Dong Zhong itu terpaksa dibatalkan. Sudah terlambat sebenarnya untuk menuding jari.

“Kadangkala saya juga terfikir, adakah Menteri dalam kalangan Cina dan India ini berani untuk mencabar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau anda semua sudah menjadi anak kucing jinak,” soalnya lagi. –MalaysiaGazette

Kongres Maruah Melayu boleh, kenapa perhimpunan Dong Zong dihalang? – Guan Eng

2 Komen

Comments are closed.