Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Latheefa Koya perlu memberi penjelasan lanjut kenapa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio membabitkan Datuk Seri Najib Razak kerana ia melibatkan isu kerahsiaan.

Bagaimanapun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hujah sedia ada yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu demi demi keadilan juga perlu diambilkira.

“Saya rasa dia perlu beri penjelasan lanjut. Sebab ada kebimbangan isu kerahsiaan, hubungan peribadi telefon suami isteri…tetapi hujah bahawa menegakkan keadilan dengan fakta dan maklumat itu juga perlu diambilkira.

“Jadi mungkin ini perlu dibawa ke mahkamah untuk diputuskan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson kepada pemberita selepas hadir di Forum Islam and Its Civilisation di ISTAC hari ini.

Anwar turut berpendirian kesemua rakaman suara itu juga patut diserahkan kepada polis sekiranya boleh dijadikan bukti.

“Itu saya tak pasti adakah mengganggu proses mahkamah cuma saya fikir bahawa wajar perkara ini diserahkan kepada polis dan dibawa ke mahkamah sekiranya ada bukti yang dapat disahkan,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian megulas sembilan rakaman audio yang didedahkan SPRM melibatkan Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baca: SPRM dedah siri rakaman perbualan Najib dan beberapa individu termasuk dari UAE

Pendedahan oleh SPRM itu kemudian dipertikaikan pelbagai pihak menganggap tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh suruhanjaya yang berintergriti, namun ada juga yang menganggap dari sudut sebaliknya.

Pihak yang mempertikaikan pendedahan itu turut menggesa Latheefa Koya dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Untuk rekod, Latheefa ketika sidang media ketika pendedahan berkata semua rakaman suara itu akan diserahkan kepada pihak polis dengan segera. -MalaysiaGazette