Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR – Seramai 16 daripada 17 individu ditahan dalam serbuan polis terhadap sebuah kondominium dekat Puchong melibatkan seorang wakil rakyat Selangor awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, enam daripadanya adalah wanita.

Serbuan di lokasi terbabit dijalankan susulan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian secara terbuka.

Beliau berkata, susulan tangkapan yang dibuat, saringan awal kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah manakala seorang lagi negatif.

“Semua tangkapan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis, kecuali seorang warga asing.

“Polis sedang menunggu keputusan ujian saringan kencing kedua yang dijalankan, sebelum membuat sebarang pendakwaan di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Abdul Hamid berkata, hasil pemeriksaan di kondominium itu menemui plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan satu piring kaca yang turut mempunyai dadah jenis sama seberat 0.3 gram.

“Polis turut menemui sebatang rokok dibalut dengan daun kering dipercayai dadah jenis ganja dan beberapa daun terup dan cip dipercayai digunakan untuk permainan judi,” katanya.

Abdul Hamid bagaimanapun enggan mendedahkan identiti 17 individu yang ditahan kerana pihaknya sedang melakukan siasatan.

Abdul Hamid berkata, susulan ancaman dadah menular dalam segenap lapisan masyarakat, tumpuan kini diberikan untuk mengesan pengguna dadah dalam kalangan pegawai kerajaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN, 4 pegawai khas politik positif dadah ditahan?