Logo E-Tunai Rakyat Grab pada sidang media Majlis Perasmian Insiatif e-Tunai Rakyat di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 14 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Setakat tengahari tadi 200,000 orang telah memohon wang percuma RM30 menerusi program e-Tunai Rakyat daripada jumlah itu 160,000 permohonan telah diluluskan.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, ini sekali gus menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Mandarin yang mengatakan program tersebut tidak mendapat sambutan.

“Sambutan begitu baik dan saya memang menggalakkan lebih ramai mengambil peluang ini.

“Saya dimaklumkan, ini telah menyebabkan sistem e-dompet Touch ‘nGo tergendala sebentar tetapi aplikasi e-dompet lain tidak mempunyai masalah,” katanya semasa sidang media selepas menyerahkan cek berjumlah RM100 juta kepada JAKIM untuk sekolah tahfiz, sekolah agama dan sekolah pondok di kementeriannya hari ini.

Guan Eng turut bergurau dengan wartawan dengan bertanyakan apakah benar sistem Touch ‘n Go masih belum boleh diakses sedangkan beliau dimaklumkan sebaliknya.

“Betul ke masih hang (tergendala)? Semua pemberita kata masih hang.

“Jika betul, kita hang (marah) dia (Touch ‘n Go), jika sudah OK kita hang pemberita,” katanya sambil ketawa dan meminta pegawainya untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat pengendali e-dompet berkenaan.

Kira-kira 15 juta rakyat Malaysia mendapat manfaat menerusi program e-Tunai Rakyat apabila kerajaan melalui Bajet 2020 memperuntukkan RM450 juta untuk memberi bantuan tunai bagi tujuan tersebut.

Orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima sebanyak RM30 melalui salah satu daripada tiga pengendali e-dompet yang terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. RM30 jer? Menteri nak beli Vellfire! Gaji PM naik sampai 100k..rakyat hang bg $30 jer? tu pun yg ada aplikasi Grab, boost & touch n go..atau tepatnya yg ada smart phone? kah kah kah

Comments are closed.