KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) hari ini mengumumkan satu usaha sama bagi meneroka peluang-peluang perkongsian rangkaian menggunakan rangkaian Projek Demonstrasi 5G (5GDP) TM di Langkawi sebagai platform.

Di bawah usahasama ini, kedua-dua pihak akan meneroka beberapa model perkongsian infrastruktur rangkaian seperti Multi-Operator Core Node (MOCN) atau Multi-Operator Radio Access Network (MORAN).

Kolaborasi ini menjelaskan lagi komitmen kedua-dua pihak ke arah membolehkan pelaksanaan yang berkesan dan kos efektif untuk liputan 5G meluas sebelum perluasan infrastruktur 5G berskala penuh di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM, Datuk Noor Kamarul Annuar Nuruddin berkata, syarikat sentiasa menyokong usaha perkongsian infrastruktur yang telahpun menjadi norma di pelbagai negara, termasuklah untuk 5G.

“Dalam industri bersedia untuk gelombang pelaburan infrastruktur berikutnya bagi menyokong kes-kes inovatif 5G dan permintaan pelanggan yang kian meningkat terhadap jalur lebar mudah alih, syarikat-syarikat telekomunikasi sedang mencari cara baharu memacu pelaksanaannya bagi mengelakkan pelaburan yang terlalu besar.

“Di sinilah kolaborasi berperanan penting untuk syarikat-syarikat telekomunikasi dalam era perkongsian rangkaian 5G,” katanya.

Pembinaan dan perkongsian bersama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi lain dari segi infrastruktur dan dengan ekosistem baharu serta pemain-pemain digital dan vertikal industri untuk perkhidmatan digital inovatif akan memberi banyak penjimatan modal dan perbelanjaan operasi.

Perkongsian infrastruktur bukan sahaja lebih bermakna dari segi ekonomi, malah turut membantu menangani masalah masyarakat berkenaan impak visual kawasan-kawasan kecil dan peralatan bagi membawakan manfaat-manfaat 5G. – MalaysiaGazette