KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Tahun Baru Cina, sesi dagangan Bursa Malaysia beroperasi separuh hari pada hari ini dan ditutup pada hari Isnin, 27 Januari.

Bursa Malaysia berkata, operasinya pada hari ini hanya dibuka untuk sesi pagi sahaja dan tiada dagangan pada sesi petang.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan Penjelasan dan Penyelesaian yang disediakan oleh Bursa Malaysia Securities Clearing; perkhidmatan depositori yang disediakan oleh Bursa Malaysia Depository; dan operasi penjelasan dan penyelesaian Bursa Malaysia Derivatives Berhad akan diteruskan seperti biasa pada hari ini.

Pejabat Bursa Malaysia Securities juga dibuka seperti biasa.

Tambahnya, Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada hari Isnin berikutan hari gantian cuti Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari Ahad, 26 Januari.

Operasi Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya dibuka semula pada hari Selasa, 28 Januari. – MalaysiaGazette