ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan susulan peningkatan kebimbangan terhadap kesan penularan 2019 novel koronavirus ke atas pertumbuhan global mungkin menjejaskan keyakinan pelabur dalam ekuiti tempatan.

Peniaga berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam jajaran di antara paras 1,535 dan 1,550 dengan cenderung kepada penurunan disebabkan kekurangan petunjuk positif baharu.

“Sentimen di seluruh rantau kekal suram berikutan kebimbangan terhadap koronavirus semakin meningkat. Pelabur pula kian tidak mahu mengambil risiko, menunjukkan kebimbangan berhubung keterukan penularan wabak terbabit telah meningkat.

“Bagaimanapun penurunan itu mungkin terhad memandangkan pelabur menyambut baik cadangan pakej rangsangan ekonomi oleh kerajaan untuk menguruskan kesan wabak koronavirus,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan lapan kes jangkitan telah dilaporkan di Malaysia, semuanya melibatkan warga China, peniaga menjangkakan kerajaan akan menyuntik pakej rangsangan di antara RM5 bilion dengan RM10 bilion seawal pertengahan Februari untuk menyediakan bantuan kepada sektor yang terjejas.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam susulan Kebimbangan Dunia (PHEIC) selepas mesyuarat kedua Jawatankuasa Kecemasan mengenai Koronavirus.

Mengulas perkembangan itu, Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata WHO menegaskan PHEIC itu diisytiharkan terutamanya atas faktor kebimbangan kemungkinan virus itu menular ke negara-negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah, dan tidak mampu menangani wabak berkenaan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 41.75 mata kepada 1,531.06 daripada 1,572.81 pada minggu lepas.

Bursa Malaysia dan dagangan derivatifnya ditutup pada Isnin sempena cuti gantian Tahun Baharu Cina yang disambut pada Ahad.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 356.54 mata kepada 10,890.12, Indeks FBMT 100 susut 328.74 mata kepada 10,703.59, Indeks FBM ACE kurang 303.18 mata kepada 5,377.22, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 415.44 mata kepada 11,551.70 dan FBM 70 merosot 570.73 mata kepada 13,651.50.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 320.81 mata kepada 14,782.26, Indeks Perladangan susut 281.13 mata kepada 7,143.62 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 8.64 mata kepada 143.31.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.65 bilion unit bernilai RM11.05 bilion daripada 12.15 bilion unit bernilai RM9.30 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 8.31 bilion saham bernilai RM9.93 bilion daripada 7.34 bilion saham bernilai RM8.22 bilion.

Waran merekodkan jumlah dagangan sebanyak 1.77 bilion unit bernilai RM309.02 juta berbanding 1.72 bilion unit bernilai RM294.92 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula merosot kepada 2.56 bilion saham bernilai RM804.78 juta daripada 3.08 bilion saham bernilai RM790.80 juta. – MalaysiaGazette