BEIJING – Cendekiawan terkenal China, Xu Zhangrun menyelar kegagalan kerajaan mengawal penularan wabak koronavirus yang telah menjangkiti hampir 25,000 orang di seluruh dunia.

Profesor undang-undang di Tsinghua University, Beijing itu mengkritik pemimpin-pemimpin Parti Komunis yang meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan rakyat dalam satu artikel yang diterbitkan di beberapa laman web berbahasa Mandarin minggu ini.

“Sistem politik telah runtuh di bawah penindasan dan sistem pentadbiran yang terdiri daripada birokrat sehingga menyebabkan parti yang terbina sejak lebih 30 tahun itu terjejas,” katanya.

Xu telah digantung daripada mengajar di Tsinghua University pada 2018 selepas menerbitkan sebuah artikel yang mengkritik keputusan pemimpin-pemimpin parti untuk menghapuskan tempoh dua penggal kepada presiden yang seterusnya membenarkan Xi Jinping kekal berkuasa melangkaui tempoh yang sepatutnya.

Kritikan terbaharu beliau adalah susulan kepada amaran yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin dan pegawai penguatkuasa China yang berhasrat untuk mengetatkan kawalan Internet bagi menghalang penyebaran khabar angin dan berita palsu.

Pada Isnin, Xi mempengerusikan mesyuarat dengan Jawatankuasa Kerja Politburo yang mana telah bersetuju supaya kerajaan mesti mengetatkan kawalan terhadap media dalam talian dan pendapat awam langsung mengenai “memenangi perang terhadap virus tersebut”.

Pada Selasa, Kementerian Keselamatan Awam mengadakan satu mesyuarat bagi mengingatkan semua pegawai polis yang keselamatan politik adalah perkara yang paling penting untuk dikendalikan ketika tempoh penularan wabak ini. – Agensi