Pangkalan tentera udara Ain al-Asad yang rosak akibat dibedil peluru berpandu Iran pada 8 Januari lalu. foto Agensi

WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat (AS) mendedahkan lebih daripada 50% kes kecederaan trauma otak (TBI) berpunca daripada serangan peluru berpandu Iran di pangkalan tentera di Baghdad bulan lalu, dialami lebih 100 orang askar.

Tetapi tiada tentera AS yang maut atau mengalami kecederaan tubuh ketika Iran melepaskan tembakan peluru berpandu di pangkalan Ain al-Asad di Iraq.

Serangan itu dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Jeneral Pengawal Revolusi Elit Iran, Qassem Soleimani dalam serangan dron di Lapangan Terbang Baghdad pada 3 Januari lalu.

Reuters pertama kali mendedahkan terdapat lebih 100 kes TBI, naik daripada 64 yang dilaporkan pada bulan lepas.

Pentagon, dalam satu kenyataan, mengesahkan setakat ini 109 anggota perkhidmatan AS telah didiagnosis dengan kecederaan otak traumatik ringan.

Ia menambah, 76 daripada mereka telah kembali bertugas.

Tentera AS sebelum ini menjangkakan jumlah askar yang mengalami TBI meningkat dalam tempoh seminggu selepas serangan kerana gejala itu boleh mengambil masa untuk mengetahuinya.

Ketua Tentera Darat dan Pengerusi Ketua Staf Bersama, Mark Milley pada bulan lalu berkata, askar yang mengalami kecederaan otak traumatik telah didiagnosis sebagai kes ringan.

Tambahnya, diagnosis itu boleh berubah seiring dengan masa yang berlalu.

Gejala-gejala TBI termasuk sakit kepala, pening, sensitif kepada cahaya dan mual.

Sejak tahun 2000, kira-kira 408,000 askar AS telah didiagnosis dengan TBI, menurut data Pentagon. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.