Tun pulang bersama Tun Siti Hasmah selepas selesai tugas hari kedua sebagai PM INterim di PMO Putrajaya hari ini/

SERI KEMBANGAN – Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di kediamannya di The Mines Residence dekat sini pukul 7.15 malam tadi.

Kenderaan rasmi Perdana hitam bernombor plat Malaysia 2020 itu tiba di Pintu B pondok pengawal keselamatan perumahan berkawalan keselamatan itu selepas selesai menjalankan tugasĀ  sebagai Perdana Menteri Interim di pejabat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya sepanjang hari ini.

Beliau sempat melambai tangan dengan melemparkan senyuman ke arah sekumpulan pengamal media yang menantikan kepulangannya yang melaporkan perkembangan semasa politik negara ketika ini.

Hari ini merupakan hari kedua beliau menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Interim sebelum penubuhan kerajaan baru.

Turut bersama beliau dalam kereta adalah isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Selepas selesai tugas di pejabat beliau dilaporkan telah hadir ke satu majlis tertutup di Putrajaya sebelum pulang bersama isterinya ke rumah.

Mereka diiringi kereta dan motosikal polis pengiring berkuasa tinggi.

Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Interim selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia susulan perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Pelantikan itu menggunakan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Dr Mahathir bagi melaksanakan tugas-tugas itu.-MalaysiaGazette

YDPA temubual sendiri semua ahli parlimen

Dr. Mahathir sah letak jawatan