Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melawat tapak loji janakuasa sambil diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (dua kanan) pada Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2020.

PORT DICKSON – Pengoperasian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di sini sejak dua bulan lalu mampu memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk di kawasan sekitar.

Malah, ia turut membuka peluang kepada anak-anak tempatan di kampung-kampung berhampiran memperoleh pekerjaan sekaligus membuka pintu rezeki kepada mereka, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, pengoperasian stesen janakuasa berkenaan sememangnya memberi impak yang baik serta akan menarik lebih ramai pelabur untuk datang melabur di Negeri Sembilan.

“Seperti tahun lepas kita melebihi RM3 bilion. Dan kita harap tahun ini walaupun kita tahu keadaan ekonomi pada masa ini tapi kita harap kepada pelabur-pelabur agar dapat melabur di Negeri Sembilan.

“Kita tengok sebab dalam dua tiga bulan ini kita berada dalam keadaan yang amat slow sekarang ini dan kita akan lihat realiti sebenar apa yang sedang berlaku. Kita akan terus menggalakkan pelaburan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Aminuddin berkata, beliau yakin ekonomi di kawasan itu akan berubah dan dapat ditingkatkan khususnya kepada peniaga kecil.

Beliau turut berharap agar ada lagi rancangan industri akan dibawa ke negeri itu yang boleh sasarkan ke kawasan-kawasan lain.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diiringi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie berkenan melihat lukisan loji janakuasa pada Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2020.

Terdahulu, Aminuddin menyaksikan perasmian Stesen Janakuasa Jimah East Power yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Stesen itu kemudiannya ditukar nama kepada Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz.

Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz yang baru dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2020.

Stesen Janakuasa itu mampu manghasilkan 2,000 megawatt (MW) pada tahap optimum dan ia adalah satu lagi stesen janakuasa milik Tenaga Nasional Berhad yang menggunakan teknologi USC selepas Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (Manjung 4 & 5) di Perak.

Pembinaan Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz adalah hasil kerjasama TNB yang memiliki 70 peratus kepentingan dengan dua syarikat Jepun iaitu Mitsui & Co Ltd dan Chugoku Electric Power, masing-masing dengan 15 peratus kepentingan. – MalaysiaGazette