Aktivis, Datin Marina Mahathir hadir untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi berhubung perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo pada Ahad lalu di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 individu termasuk aktivis dan mahasiswa dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, kira-kira jam 3.05 petang tadi.

MalaysiaGazette dimaklumkan bahawa kehadiran mereka bagi membantu siasatan berhubung penganjuran perhimpunan haram bertajuk Selamatkan Malaysia di pekarangan pusat beli-belah Sogo, pada 1 Mac lalu.

Turut dipanggil untuk dirakam keterangan adalah aktivis Bersih 2.0 yang juga anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Mahathir.

Kesemua 15 individu itu dipercayai akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan AMAN (APA) 2012 kerana menganjurkan perhimpunan tanpa memaklumkan notis lima hari kepada pihak polis.

Pada 1 Mac lalu, peserta demonstrasi berarak dari kompleks beli-belah Sogo ke Dataran kira-kira 5.30 petang.

Mereka berhimpun bagi membantah titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8. – MalaysiaGazette