Anthony Loke

KUALA LUMPUR- Kerajaan diminta untuk membantu syarikat-syarikat penerbangan tempatan dalam mengharungi krisis Covid-19 terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan disaran supaya memanggil semua syarikat penerbangan tempatan untuk berbincang dan mendapatkan pandangan mereka mengenai apakah pakej bantuan terbaik yang boleh diberikan ketika ini.

“Malaysia Airlines contohnya adalah milik kerajaan sepenuhnya, jadi untuk pastikan MAS tidak bankrap, ia perlu menerima suntikan dana baharu tetapi sebagai langkah proaktif, jika saya masih di Kementerian Pengangkutan, saya akan panggil kesemua syarikat penerbangan tempatan.

“Kita perlu tahu apakah bantuan terbaik dan paling diperlukan oleh mereka saat ini,” katanya semasa sidang media Pakatan Harapan yang disiarkan secara maya menerusi Facebook dan WhatsApp hari ini.

Tambah Anthony, antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah menurunkan kos melalui suntikan dana kerajaan kepada hak pendaratan pesawat.

Ini adalah penting bagi memastikan syarikat-syarikat penerbangan yang ketika ini sedang tenat akibat kesan pandemik Covid-19 masih boleh terus bernafas.

“Kerajaan tidak boleh biarkan mana-mana syarikat penerbangan bankrap kerana memberi implikasi besar kepada negara.

“Kesannya bukan sahaja kepada kakitangan syarikat yang mungkin kehilangan pekerja tetapi juga kepada sistem pengangkutan negara apabila keadaan kembali pulih dalam tempoh beberapa bulan lagi,” tegasnya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pinjaman mudah diberikan kepada syarikat-syarikat penerbangan tempatan.

Beberapa syarikat penerbangan sebelum ini telah mengumumkan langkah-langkah mengurangkan kesan Covid-19 ke atas kewangan mereka.

MAS contohnya, menawarkan 13,000 kakitangannya untuk mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan atau lima hari setiap bulan untuk tempoh tiga bulan mulai April.

Sebelum itu, syarikat penerbangan tersebut telah mengumumkan potongan gaji dan elaun sebanyak 10 peratus kepada pengurusan kanannya.

Syarikat penerbangan Malindo pula melaksanakan pemotongan gaji sebanyak 50 peratus dan menggalakkan para pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji bagi mengurangkan kos operasi syarikat.-MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.