Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (paling kiri) menyampaikan taklimat mengenai kesiapsiagaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menghadapi cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah di Kuala Lumpur semalam.-Gambar TNB.

KUALA LUMPUR – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkeyakinan penuh terhadap kesiapsiagaan bekalan elektrik dalam menghadapi cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam sesi lawatannya ke Pusat Kawalan Wilayah Selatan dan Metro (MSRCC) dan National Load Dispatch Centre (NLDC) di Ibu Pejabat TNB Bangsar semalam, beliau berkata, TNB berperanan penting di saat negara bertungkus lumus menangani virus Covid-19.

“Saya telah melihat persiapan yang dilakukan TNB dan saya yakin dengan usaha mereka. Tentunya ketika rakyat Malaysia mematuhi perintah untuk berada di rumah, warga kerja TNB berperanan penting memastikan bekalan elektrik yang stabil dapat dinikmati semua.

“Saya juga dimaklumkan TNB bersedia memastikan bekalan elektrik ke hospital-hospital, baik di bandar mahupun klinik-klinik kesihatan di luar bandar, terjamin. Saya mengucapkan syabas kepada semua warga kerja TNB yang bertungkus-lumus bekerja semasa tempoh genting ini,” jelasnya.

Shamsul Anuar disertai timbalannya, Ali Biju dan Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Zurinah Pawanteh.

Semasa lawatan, Shamsul Anuar diberi taklimat oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Turut hadir sama, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir. Baharin Din, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Sejak bermula PKP, TNB mengambil langkah proaktif dengan meletakkan 79 set janakuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh negara. Set janakuasa mudah alih juga digerakkan dan kesemuanya berada dalam keadaan bersedia sekiranya diperlukan.

Sistem bekalan elektrik ke hospital-hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak virus Covid-19 turut diperkukuhkan, antaranya Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Amir Hamzah mengucapkan terima kasih kepada Shamsul atas kesediaan beliau meluangkan masa turun padang untuk meninjau langkah-langkah yang diambil TNB bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap sepanjang tempoh PKP.

Tambahnya, lawatan tersebut pasti menyuntik semangat warga kerja syarikat utilit elektrik negara itu yang terus melaksanakan tugas, terutama sekali mereka di barisan hadapan.- MalaysiaGazette