Pusat kuarantin dna rawatan sementara Covid-19 di MAEPS.

PUTRAJAYA – Pusat Kuarantin dan rawatan sementara Covid-19 berisiko rendah yang akan beroperasi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dijangka siap sepenuhnya petang esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, persiapan awal itu sebagai menghadapi kes-kes baharu Covid-19 yang dijangkakan meningkat pada pertengahan April 2020.

Katanya, sebanyak 600 katil diletakkan di Dewan A dan 200 katil pesakit di Dewan B, Maeps untuk mengkuarantin dan merawat pesakit Covid kelak.

Ruang yang akan menempatkan pesakit Covid-19 di MAEPS, Serdang.

“Kita ramalkan dalam pertengahan bulan April mungkin ada kes yang mendadak tetapi setakat ini tindakan kita dari segi pembersihan, nyahkuman dan nyahjangkitan telah dilaksanakan oleh semua kerajaan tempatan dan majlis daerah setakat ini.

“Dan proses itu berjalan dan proses kedua ialah mengenalpasti atau mencari, menguji dan mengasingkan kes positif dan mereka.

“Yang tidak positif akan kuarantin diri mereka 14 hari dan merawat mereka,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini petang tadi.

Dalam pada itu ditanyajumlah ujian saringan peserta jemaah tabligh Seri Petaling, katanya, mengikut data yang diperolehi sebanyak 12,500 sample telah diambil dan seramai 1,207 positif Covid-19.

Bagi kontak rapat kepada pesakit positif Covid-19, seramai 10,724 orang telah diambil sampel dan 586 adalah positif manakala 7,426 org yang disyaki (PUI) diuji dan 461 positif.

“Kami juga perlu dan masih mencari 5,084 yang masih dikehendaki untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Kami sedang mengesan mereka dan sedang bekerjasama dengan polis. Pada masa sama menggalakkan mereka datang ke klinik kesihatan segera untuk membuat saringan. Alamat sudah ada dan yakin boleh dijejaki,” katanya.. – MalaysiaGazette